Sejarah & PROFESOR EMERITUS DATUK DR AHMAT ADAM

PROFESOR EMERITUS DATUK DR AHMAT ADAM, 78 tahun.

Saya berasal dari kampung di Selandar, Melaka. Saya dari kecik dah belajar Jawi dan membaca hikayat seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Sri Rama, saya memang suka hikayat. Lepas tu saya masuk sekolah di sini, Tranquerah English School pada tahun 1952. Kemudian saya masuk Malacca High School pada tahun 1955. Saya tinggal di asrama. Bila kita duduk di asrama, kita ada semangat rivalry. Macam-macam cerita sebenarnya.

Tapi saya minat mengkaji manuskrip kerana saya ada latar belakang bahasa Sanskrit. Tak ramai orang belajar bahasa Sanskrit. Saya belajar bahasa Sanskrit di Universiti Malaya. Saya belajar sastera Sanskrit, saya belajar sejarah India. Bahasa Melayu itu secara kasar 70 peratus itu adalah bahasa Sanskrit. Contohnya banyak: “dosa,” “pahala,” “masa,” “syurga,” “neraka”.

Saya ni memang minat sejarah intelektual. Akhbar adalah fikiran sesuatu bangsa. Saya mengkaji sejarah akhbar di Indonesia mula-mula dulu sampai lahir semangat kebangsaan. Di Melaka pun ada sejarahnya iaitu akhbar Suara Benar. Cuma masalah suratkhabar ini apabila tiada pembaca. Yang baca cikgu saja, tapi cikgu mana ada duit. Suratkhabar ialah sejarah intelektual Melayu. Sama juga dengan hikayat, ia adalah sejarah intelektual. Sebab tu saya kritik semua. Orang tak suka kan? Tapi sejarah mesti bercakap benar. Dan mesti bagi sebab. Apabila saya kata tak boleh sebut nama, itu mesti ada sebab. Dan sebabnya ialah pantang orang Melayu. Tun Sri Lanang tu bukan nama dia. Itu nama gelaran. Lanang itu ertinya laki-laki dalam bahasa Jawa.

Orang Melayu ni kurang guna akal. Sebab itu apa-apa cerita dia percaya saja. Dia tak pernah soalkan. Kan saya kata, sumber tu mesti kita persoalkan. Bila seorang profesor kata Melaka dibuka pada 1262, apa buktinya? Sejarah Melayu? Sejarah Melayu bukan buku sejarah.

Bukan semua sejarah yang ditulis itu betul. Ambil contoh Batu Bersurat Terengganu. Saya orang pertama kata tulisannya itu bahasa Jawa dan bahasa Sanskrit. Selama ini guru saya tulis salah. Tarikhnya pun salah. Saya perbetulkan. Tapi orang Terengganu senyap, sultan Terengganu senyap, kerajaan Terengganu senyap. Tak mahu diperbetulkan. Apa nak jadi dengan orang Melayu?

Laksamana tidak mempunyai nama. Contohnya, Laksamana Hang Nadim. Nadim tu bukan nama dia. Itu nama samaran. Pengarang Sejarah Melayu buat. Nadim ertinya sahabat. Laksamana Khoja Hasan. Dia digelar begitu kerana dia makan rasuah dan dia tak cekap. Dalam buku saya Antara Sejarah dan Mitos saya ada sebut. Khoja maksudnya orang yang tak ada nafsu, pondan. Hasan maksudnya cantik. Macam mana laksamana boleh jadi pondan dan cantik? Pengarang Sejarah Melayu bijak. Dia perli! Apabila laksamana mati, dia ditanam di Gunung Pental. Pental ertinya suara tak keluar. Hero ke itu? Jadi pengarang Sejarah Melayu sengaja buat sindiran.

Orang-orang muda suka menentang arus. Tapi tak boleh sebarangan menentang arus. Mesti berdasarkan bukti. Mereka mesti kena membaca dan tahu bahasa kedua. Orang Melayu kalau nak maju mesti tahu bahasa Inggeris. Kalau tak mahu bahasa Inggeris, ambil bahasa Mandarin. Sebab di dunia ini bahasa Mandarin yang banyak menghasilkan ilmu.

Pasai ialah pusat perkembangan Islam. Melaka tak pernah jadi pusat perkembangan Islam. Tak ada ulama! Apabila saya kata ulama, saya bukan tengah cakap tentang Nik Aziz. Saya tengah cakap tentang ulama berzaman. Macam Hamka, sebelum perang. Melaka tak ada.

Diwawancara pada 29/9/2019 di 169, Jalan Tengkera.

Ahmat Adam

Catat Ulasan

0 Ulasan