Fakta menarik Hikayat Hang Tuah

Bab ini mengisahkan tentang Hang Tuah berusaha kembali ke Melaka dan memperhambakan dirinya kepada Raja Melaka agar kesalahannya diampunkan. Oleh sebab Raja Melaka ingin beristerikan Tun Teja, maka Hang Tuah berusaha membawa Tun Teja ke Melaka untuk dipersembahkan kepada Raja Melaka. Terdapat beberapa peristiwa penting dalam usaha Hang Tuah hendak melarikan Tun Teja ke Melaka iaitu :

1- Hang Tuah berpura-pura cintakan Tun Teja dan menyuruh ibu angkatnya, Dang Ratna iaitu inang tua Tun Teja menyampaikan hasratnya tersebut kepada Tun Teja. Pada mulanya Dang Ratna tidak berani menyatakan hasrat Hang Tuah tersebut. Akan tetapi kerana kasihankan kepada Hang Tuah, Dang Ratna sanggup menyampaikan hasrat hati Hang Tuah kepada Tun Teja.

2- Tun Teja berasa amat marah kepada Dang Ratna tatkala Dang Ratna menyampaikan hasrat Hang Tuah kerana kedudukannya tidak setaraf. Dang Ratna digocoh dengan tempurung bebulu menyebabkan muka dan mulutnya berdarah. Dang Ratna memberitahu Hang Tuah perkara yang sebenarnya. Keadaan ini menimbulkan kemarahan Hang Tuah yang menyebabkan Hang Tuah berusaha menghapuskan arang (malu) di muka Dang Ratna.

3- Hang Tuah telah membuat ubat guna-guna untuk dilumurkan kepada Tun Teja supaya Tun Teja tergila-gilakannya. Ubat guna-guna itu diberikan kepada Dang Ratna untuk dilumurkan kepada Tun Teja.

4- Dengan hati yang cekal dan ingin membalas dendam atas perbuatan Tun Teja terhadap dirinya, Dang Ratna melumurkan ubat guna-guna pada badan Tun Teja. akibat ubat guna-guna itu, Tun Teja mula mencintai Hang Tuah. Tun Teja memberitahu Dang Ratna supaya menyekat Hang Tuah yang berpura-pura hendak kembali ke Melaka kerana Tun Teja ingin bertemu dengannya.

5- Tun Teja diiringi oleh dayang-dayang menyamar keluar dari istana ke rumah Dang Ratna untuk bertemu dengan Hang Tuah. dalam pertemuan itu, masing-masing mencurahkan isi hatinya. Dari sinilah lahirnya cinta suci Hang Tuah terhadap Tun Teja. Tetapi disebabkan niatnya untuk membawa Tun  Teja kepada Raja Melaka, akhirnya timbul konflik dalam diri Hang Tuah.  Bagi diri Hng Tuah tiada raja lain di dunia yang diperhambakan selain daripada Raja Melaka.

6- Keinginan Hang Tuah untuk melarikan Tun Teja ke Melaka telah diterima oleh Tun Teja. hal ini terjadi kerana Tun Teja ingin melarikan diri dari dikahwinkan denga Megat Panji Alam Terengganu.

7- Tatkala Hang Tuah berusaha untuk melarikan Tun Teja ke Melaka, Hang Tuah bertemu dengan Tun Ratna Diraja dan Tun Bija Sura yang singgah di Inderapura. Hang Tuah menceritakan perihal dirinya yang difitnah dan usahanya untuk membawa Tun Teja ke Melaka untuk Raja Melaka. Dengan bantuan Tun Ratna Diraja dan Tun Bija Sura, Hang Tuah telah berjaya melarikan Tun Teja bersama-sama dengan Dang Ratna ke Melaka.

8- Bendahara Seri Buana menghantar angkatan perang di bawah pimpinan Seri Maharaja Lela, Tun Jena dan Tun Pekerma untuk menyerang Hng Tuah yang berlabuh di Pulau Tinggi. Tetapi angkatan itu telah dapat dikalahkan oleh Hang Tuah dengan bantuan Tun Bija Sura dan Tun Rana Diraja.

9- Semasa Melaka menyambut rombongan, yang membawa gajah dari siam, Raja Melaka terpandang Hang Tuah di dalam perahu tersebut. Di sini Raja Melaka mulai menyesal dengan tindakannya. Hang Tuah memberitahu bahawa dia menetap di Inderapura dan tidak akan bertuan selain daripada Raja Melaka dan memberitahu bahawa dia membawa Tun Teja dari Inderapura yang menjadi idaman Raja Melaka. Raja Melaka terlalu sukacita dan menghadiahkan sepersalinan kepada Hang Tuah seperti Raja Melaka sendiri yang mengenakan pakaian kepada Hang Tuah. Raja Melaka memerintahkan Bendahara Paduka Raja membuat persiapan kedatangan Tun Teja.

10- Sekali lagi Hang Tuah menghadapi dilemma dan konflik kerana Tun Teja tidak mahu berkahwin dengan Raja Melaka. Hatinya adalah untuk Hang Tuah dan kedatangannya ke Melaka sebab ingin bersama-sama dengan Hang Tuah. Oleh kerana cintanya terhadap Hang Tuah, Tun Teja sanggup memakan ubat pembenci yang dibuat oleh Hnag Tuah agar hatinya akan membenci Hnag Tuah . Akhirnya, Tun Teja telah dikahwinkan dengan Raja Melaka.

11- Atas jasa bakti Hang Tuah, beliau telah dianugerahkan pangkat oleh Raja Melaka iaitu Laksamana, ketua segala hulubalang Melaka. Manakala Dang Ratna dianugerahkan pangkat yang membawa gelaran Paduka Maha Dewi. Dengan ini, Laksamana Hang Tuah semakin disayangi oleh Raja Melaka dan segala kata-kata Hang Tuah hanya digiakan sahaja oleh Raja Melaka.

#hikayathangtuah
#tunteja
#hangtuah
#hangtuahcentre

Catat Ulasan

0 Ulasan