PERANG MUSUH BISIK 1821


“SIAM TEWAS, KEDAH MARA KE SENGGORA”


Dari pengalaman di Pulau Songsong dan di Pulau Bunting, Tunku Muhamad Saad telah mengkaji semula kedudukan angkatan perangnya. Akhirnya Tunku Muhamad Saad mendapat persetujuan dari Dato’ Muhamad Ali Datok Setia Segera, Panglima Muhamad Taib Hitam dan lain-lain panglima kanan supaya angkatan perang kali ini dibahagi kepada empat pasukan.


Pasukan pertama ialah pasukan penyerang yang terdiri dari pejuang-pejuang handalan-pahlawan dan panglima-panglima yang tahan di pahat biji mata dan boleh menangkap peluru yang terbang dengan tapak tangan. Ketua pasukan ini ialah Tunku Muhamad Saad sendiri. Matlamat pasukan ini ialah menduduki Kota Senggora yang terletak di Laut China.


Pasukan kedua dikepalai oleh Dato’ Muhamad Ali. Matlamat pasukan ini ialah menyerang Negeri Terang, Negeri Krakbi dan Pulau Panjang yang letak bertentangan dengan Negeri Pangnga. Angkatan ini akan bergerak dari laut dan dari darat. Serentak menuju ke utara. Pasukan-pasukan kedua ini mengandungi sekumpulan pahlawan-pahlawan yang digelar “Puak Tulang Besi”.


Kumpulan ketiga terdiri dari orang-orang Kedah dan orang-orang Petani yang mempunyai sasaran membebaskan Negeri Petani dengan apa jalan dan cara sekalipun. Angkatan ini diketuai oleh seorang putera Petani yang tidak lagi diketahui namanya.

Kumpulan keempat diketuai oleh Tunku Muhamad Akib ditugaskan menjadi angkatan simpanan yang setia.


 Selepas menduduki Kota Kuala Kedah dan mengawal ketenteraman seluruh negeri, mereka akan diminta membantu mana-mana pasukan yang belum beres dengan matlamatnya.


Detik dan ketika melancarkan serangan ditetapkan oleh pahlawan yang tua-tua berkebetulan dengan Temasya Tambun di Bangkok semasa Maharaja Siam membakar jasad seorang Maharani nya. Pada masa ini semua gabenor-gabenor wilayah dan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan berkumpul di Bangkok menghormati Maharani yang akan di hantar ke akhirat. 


Masa itulah Tunku Muhamad Saad sampai 

di Haad Yai dan Dato’ Muhamad Ali sampai di Puket.

Dalam bulan Muharram tahun itu turun dari Mekah seorang Ulama yang terkenal bernama Shaikh Abdul Samad iaitu anak kepada Shaikh Abdul Jalil al-Mahdani yang menjadi guru kepada Sultan. 


Shaikh Abdul Samad bernaung di Mekah sejak kecil lagi dengan sarudaranya yang menjadi mufti di Kedah iaitu Shaikh Abdul Kadir Dato’ Maharaja Kadi. Mereka berdua berlainan ibu. Shaikh Abdul Kadir ibunya orang Kedah sedang Shaikh Abdul Samad ibunya orang Palembang, maka dikenali beliau sebagai Shaikh Abdul Samad Palembang. 


Dua-dua orang Shaikh ini telah turut berjuang bahu membahu dengan Tunku Muhamad Saad dan memberi perangsang serta galakan yang besar kepada kejayaan perjuangan merebut negeri Kedah sekali ini. Dua-dua ulama ini diletak dikumpulan Dato’ Muhamad Ali Setia Segera bergaul mesra dengan orang-orang Langkawi.

Angkatan perang Kedah menuju ke Utara dari tiga hala serentak dan telah berjaya melumpuhkan pertahanan Siam di mana-mana mereka pergi. 


Negeri Petani telah terjatuh ketangan orang-orang Melayu semula. Terang dan Pulau Phuket telah diduduki oleh Dato’ Muhamad Alidan beliau mara ke Timur membantu Tunku Muhamad Saad yang telah menawan Haad Yai dan sedang bergerak ke Utara menduduki Senggora dan Boyang.


Kuala Kedah dengan senangnya diambil oleh kumpulan nombor empat dan perjuangan yang agak serius hanya berlaku di Alor Ganu selama beberapa ketika. Phya Buri Seknutun yang bertahan di Alor Ganu telah berundur ke Petalung dengan beberapa kerat tenteranya.


Negeri Kedah telah bebas semula dan Kota Kuala Kedah telah diduduki oleh orang-orang Melayu. Penghulu Kota dilantik dengan serta merta dan penghulu sekali ini ialah Syed Hussein.


Dalam perjalanan ke Utara, angkatan Perang Tunku Muhamad Saad bertemu dengan hutan belantara yang menyelubungi Negeri Kedah terutama yang ditempat-tempat yang asal nya kampung dan sawah. Sekarang ini perkampungan hanya terdapat di pinggir-pinggir bukit dan di tempat-tempat yang terpencil di lurah-lurah pergunungan. 


Di sanalah mereka menanam pokok-pokok durian dan lain-lain pokok buah-buahan sehingga sekarang kita masih mendapati dusun-dusun yang indah di tempat yang sukar di datangi manusia. Dusun-dusun di bukit dan di tengah-tengah hutan ini mempunyai riwayat asal-usulnya dari tarikh ini. 


Ramai pula hulubalang-hulubalang yang menitiskan 

air mata melihat manisan lebah menitik dari 

sarangnya membanjiri perdu tualang. Tiada ada 

orang yang ingin berusaha memungut madu lagi.

Angkatan perang yang berjalan kaki ini mendarat di Kuala Perlis dan Kuala Sanglang kemudian menuju ke Bukit Kayu Hitam dan terus ke Haad Yai. Dari sini mereka mara hingga ke Senggora dan Petani.


Angkatan laut Melayu yang dikumpul oleh Tunku Muhamad Saad belum ada bandingnya di dalam sejarah Nusantara dan Dato’ Muhamad Ali adalah seorang Laksamana yang teragung belum pernah di riwayatkan orang dengan sepenuhnya..


Dari kesah-kesah yang masih diperbualkan, kapal-kapal orang Melayu pada masa itu tidaklah besar seperti kapal-kapal sekarang. Kapal-kapal Melayu hanya memakai layar atau pun dayung. Jenis yang agak besarnya ialah jong, pilang, pusta atau galis.


 Diantara yang banyak-banyak itu terdapat sebuah yang amat besar, sagurnya berlapis-lapis dan boleh dibuat kota atau benteng untuk bertembak-tembak. Kapal inilah yang menjadi kenaikan Dato’ Muhamad Ali.

Diantara pejuang-pejuang yang melibatkan diri menyerang Terang dan Pulau Puket dari tangan Siam ialah orang-orang Lanun dari Mindanao di Philippina dan beberapa orang Balanini dari Pulau Sulu. 


Lanun-lanun dan Balanini ini cekal dan berani menghadapi musuh dan tidak mudah meninggalkan satu-satu perjuangan yang belum selesai. Mereka memilih mati dari menjadi tawanan perang atau hamba abdi orang.


Pada satu masa perahu-perahu mereka telah ditembak oleh sebuah kapal perang Inggeris hingga berkecai didalam laut. Mereka tidak rela dipungut-pungut oleh kapal tersebut supaya diselamatkan. Mereka lebih senang mati dari hidup tidak bermaruah.


Orang-orang lanun dan Balanini ini gempal tetapi pendek tubuhnya, berambut panjang menjijak bahu, berlilit kepala, berseluar ketat tetapi pantang berbaju. Tulang pipinya tinggi, hidung penyet, mata merah dan mulut pun merah juga sebab kuat makan sirih.


Perahu mereka ialah bangsa perahu panjang- 

ada yang sehingga sembilan puluh lima kaki dari 

haluan keburitan, didayung oleh sembilan puluh (90) orang pendayung, empat puluh lima (45) 

orang sebelah. 


Jika keadaan memaksa, mereka mendayung siang danmalam tidak berhenti-henti dan akan menggosok mata yang mengantuk dengan daun lada pedas supaya tidak terlena.


 Perahu mereka berlayar dimana-mana sahaja dari Terang hingga ka Australia, dan dari Acheh hingga ke Philippina. Lela dan meriam kecil menghiasi pisang-pisang perahu mereka kiri dan kanan. Orang-orang laut ini sangat pandai menggunakan lela, istanggar dan meriam perang dengan tepat keatas perahu-perahu musuh.


Perahu-perahu Melayu didalam angkatan ini terdiri dari perahu-perahu nelayan yang biasa, bermacam-macam jenis dan saiz. Tetapi tidaklah kurang handalnya merempuh laut yang luas dan dapat pula memudiki anak-anak sungai yang sempit serta bergerak dengan senyap-senyap dicelah pokok-pokok nipah dan hutan api-api. Perahu-perahu Melayu amat senang menyelit-nyelit dicelah-celah batu dan diantara pulau-pulau yang bergugus di Nusantara ini.


Selain dari perahu Orang Melayu juga mempunyai galis atau pusta, berat diantara 40 hingga 60 ratus tan. Kapal-kapal perang Inggeris pada masa ini tidak lebih dari 150 tan pada sebijinya. Galis-galis Melayu yang besar boleh membawa 150 orang penumpang. 


Galis yang besar mempunyai sepuluh atau dua belas pucuk lela dan beberapa batang meriam besar yang dibeli dari orang Portugis atau orang Belanda. Galis orang Balanini lebih panjang dari galis Melayu sungguh pun pisang-pisangnya lebih rendah dan galis Balanini boleh membawa 350 orang dengan mudah.


Angkatan laut beginilah yang telah berjaya 

mengusir orang-orang Siam dari Negeri Kedah.

Bagi menandakan kejayaan Tunku Muhamad Saad dalam perjuangan ini, Shaikh Abdul Samad telah mengarang serangkap syair dalam Bahasa Arab yang diabadikan diatas sekeping kain sutera merah, dan disimpan oleh anak cucu Dato’ Muhamad Ali Setia Segera turun temurun di Pulau Langkawi. 


Syair ini memuji-muji Tuhan Semesta Alam yang menganugerahkan kejayaan cemerlang kepada seseorang:-


Putera bukan sebarang putera

Putera Raja Sultan Pilihan

Negeri Kedah telah berjaya

Mengecap nikmat anugerah Tuhan

Ugama Islam bergerak semula

Begitu lama dalam tekanan


terjemahan secara bebas ini 

memuji-muji Sultan Ahmad Tajuddin 

yang menjadi pendorong besar dalam pergerakan membebaskan kedah dari belenggu Siam. 


Syair ditulis dengan Bahasa Arab yang indah dan mungkin dilagu-lagukan oleh perajurit-perajurit Kedah dengan suara yang nyaring, supaya sampai juga ke telingan anak cucu mereka.


INGGERIS MEMBURU PEJUANG KEDAH 

                     DI LAUT GABENOR 


Pulau Pinang mengeluarkan peristiharan 

kepada orang-orang Melayu yang menjadi 

rakyat British supaya jangan menceburkan 

diri dengan kegiatan-kegiatan menentang pemerintahan Siam. 


Orang-orang yang menarik diri akan diberi pengampunan oleh Kerajaan Pulau Pinang.


Kapten Stanley yang menjadi kapitan Kapal “Wolfe” diarah membedil orang-orang Melayu yang memburu orang-orang Siam, dan Inggeris hendaklah membantu orang-orang Siam jika ada orang-orang Melayu yang cuba merebutkan Kota Kuala Kedah.


Stanley telah terlambat kerana ketika beliau sampai di Kuala Kedah, Kota Kuala telah diduduki oleh orang-orang Melayu sejak 2 haribulan Ogos 1838 lagi dan sedang dikawal kuat oleh Tuan Syed Hussain Penghulu Kota.


Gabenor Pulau Pinang, Samuel Bonham, menyangka orang-orang Melayu akan balik ke kampong masing-masing di Seberang Perai atau di Perak selepas merompak orang-orang Siam di Kuala Kedah.


 Sangkaannya tersilap kerana orang-orang Melayu tidak berganjak dari Kedah malahan telah menabalkan Tunku Abdullah putera Sultan Ahmad Tajuddin menjadi raja di Kedah sepuluh hari selepas Kota Kuala Kedah jatuh ketangan mereka.


Wang pajakan Pulau Pinang dan Seberang Perai yang sepatutnya dibayar sepuluh ribu ringgit kepada Sultan Ahmad Tajuddin tidak ditepati lagi. Bonham membayar hanya enam ribu ringgit sahaja kepada baginda.


 Bonham marahkan Baginda Sultan yang membakar dada orang-orang Melayu supaya bangun memberontak menentang Siam. Tindakan Sultan Ahmad Tajuddin dan pengikut-pengikutnya bercanggah dengan kepentingan Inggeris. 


Sultan telah menulis kepada Bonham :

“Apa boleh Beta katakan kerana Kompeni Inggeris ada besar kuasanya,barang yang hendak di perintahkannya turut sukanya. Akan pasal Negeri Kedah itu negeri Beta keturunan mari dari datuk nenek Beta.


 Maka orang Siam tipu ambil tiadalah boleh Beta hendak lupakan pada hati, melainkan barangkali Beta dapat kuasa Beta hendak ambil balik juga negeri Beta itu. Kerana pikiran Beta, jika pada Tuan Raja Eropa Inggeris dan kepada Laut Benggala sekalipun tiada jadi kesalahan Beta hendak ambil balik negeri Beta itu kerana pada hati orang segala bangsa pun tatkala seseorang berbuat malu mengambil balik hartanya itu, jangan pun suatu negeri, jika suatu kebun sekalipun..”


Surat ini telah menambahkan rasa kagum dan hormat dari pegawai-pegawai pentadbir Inggeris di Negeri-Negeri Selat kepada Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah.


 Bukan sahaja kerana selama ini gerak geri dan tindakan Baginda sentiasa mencemaskan Inggeris tetapi lebih-lebih kerana semangat Baginda yang tidak pernah luntur merebut kembali tahtanya yang hak dan sebenar walaupun selepas lebih dari lima belas tahun Baginda berada didalam pembuangan; dan telah berkali-kali perjuangan Baginda menemui kegagalan. Setakat ini Bonham dan pehak Inggeris yang bertanggongjawab belum lagi insaf. Elaun Baginda dibayar hanya $6,000.00 lima enam tahun berturut-turut.


Gabenor Bonham mengarahkan “Wolfe” supaya menyerang Merbok dan merosakkan persiapan-persiapan orang Melayu yang hendak berhijrah ke Kedah kerana orang-orang ini pasti mencetuskan pemberontakan menentang Siam. Mereka bukan sahaja membawa tajak dan cangkul tetapi juga mengepilkan keris dan lembing. 


Tetapi kapal “Wolfe” terpaksa pulang ke India sebelum dapat menyempurnakan tugasnya dan kapal “Victor” yang mengambil aleh meronda Laut Kedah tidak pula sampai hatinya bertindak lebih dari menahan orang-orang Melayu yang keluar ke laut dengan bersenjata. Orang-orang yang membawa senjata disuruh pulang atau dibicarakan sebagai perompak.


Bonham mempunyai ingatan hendak menyerang Kota Kuala Kedah dan menyerahkannya kepada Siam. Tindakan ini dilarang keras oleh Kerajaan Indok di Madras. Madras menghantar beberapa buah kapal kepada Bonham membantunya mengepung Laut Kedah supaya orang-orang Melayu tidak mendapat bantuan senjata dan tentera dari luar. 


Dengan ini mudahlah Siam mengambil semula Kota Kuala Kedah itu. Kapal “Hyacinth” yang dipanggil “Hai Seng” oleh orang-orang Kedah dibantu oleh “Victor”, “Diana”, “Diamond”, “Pearl” dan “Emerald” meronda dari Pulau Pinang ke Setol setiap hari.


Tugas Kapten Warren, Kapitan Kapal “Hyacinth” yang menjadi Laksamana angkatan kapal-kapal perang Inggeris ini ialah menemui ketua-ketua Melayu di Kota Kuala Kedah dan memujuk mereka supaya menyerah kembali Negeri Kedah kepada Siam. 


Mereka semuanya akan Diampunkan oleh Inggeris. Tunku Abdullah, Tunku Muhamad Saad, Tunku Muhamad Akib, Panglima Muhamad Taib Hitam dan lain-lain datuk menerima Warren dengan baik tetapi tidak dapat menerima tawaran Inggeris yang terang-terang menyebelahi Siam.


Setelah diplomasinya gagal, Warren nerayau-rayau mencari tapak pelancaran serangan orang Melayu untuk dimusnahkan. Akhirnya dia bertemu dengan sebuah teluk yang cantik di Terang. Tempat ini dikelilingi oleh bukit-bukit yang mencuram ke laut. Di dalam teluk itu terkumpul sekurang-kurangya lima puluh buah perahu perang Melayu. Tiap-tiap sebuahnya boleh muat dua puluh hingga lima puluh orang lasykar.


 Perahu-perahu itu lengkap dengan lela iaitu meriam-meriam kecil yang boleh dipusing-pusing dan meriam-meriam katak. Perahu-perahu perang itu disusun rapi dalam satu kawasan yang brpagar batang-batang nibong berikat kemas dengan rotan. 


Warren berlabuh di luar teluk dan berdayong ke pengkalan telah terkejut kerana disambut oleh satu barisan kehormatan terdiri dari seratus orang lasykar laut berkeris dan berlembing. Dari atas bukit yang mengelilingi teluk itu, kapal Warren dapat dilihat dari jauh lagi dan Dato’ Muhamad Ali Setia Segera menanti di Balai dengan senyum yang bermakna.


Perbualan yang pendek antara dua Laksamana laut berakhir dengan cabar mencabar. Warren menuduh Muhamad Ali menjadi Lanun dan Muhamad Ali menuduh Warren sebagai sahabat yang tidak mengenang budi. Bagaimana pun Warren telah dibenar melekatkan kertas-kertas kenyataan di pokok-pokok kelapa memberitahu orang-orang Melayu supaya jangan menentang Siam. 


Jika tidak mereka akan dihukum sebagai lanun. Muhamad Ali menegaskan bahawa beliau berani mengasapi kemenyan seluruh badan Warren dan badan Kapal “Hai Seng” kiranya ada sekerat Melayu yang ingin balik ke Pulau Pinang dan enggan menebus kembali kampong halaman mereka.


 Warren mendesak Dato’ Muhamad Ali mengeluarkan perahu-perahu dari dalam kelong ke laut terbuka dan berlawan dengannya di xana. Dato’ Muhamad Ali mencabar Warren supaya mudik ke dalam teluk untuk melihat langit yang biru itu tinggi atau rendah. 


Dato’ Muhamad Ali memberitahu Warren bahawa orang Melayu telah berjaya mengusir Siam di mana-mana sahaja dan jikalau tidak dengan gangguan Inggeris, Siam dapat diusir dari bumi Melayu lama lebih dulu lagi.


Dato’ Muhamad Ali menyeru Warren supaya mempengaruhi Inggeris mengubah sikap mereka dan menyebelahi orang-orang Melayu yang berjuang menegakkan hak dan kebenaran. Warren bangun dan berkali-kali berkata, “Impossible,imp

ossible!” terus balik ke kapalnya. 


Kepada jurubahasanya, Warren berkata, 

“Satu hari kita ajar dia!”


Warren berkeyakinan penuh dia dapat mengajar Dato’ Muhamad Ali Setia Segera kerana pengiring-pengiring kapal “Hyacinth” semuanya handal dan yang paling terkenal ialah “Diana”.


Kapitan Kapal “Diana” bernama Kapten Congalton. “Diana” ialah kapal wap yang awal-awal sekali ditimbau di India, mempunyai empat puluh kuasa kuda dan beratnya 160 tan. Kakitangan “Diana” terdiri dari seorang kapitan, dua orang pegawai Inggeris dan 30 orang kelasi Melayu. 


Kapal “Emerald” yang ditimbau lebih kemudian mempunyai 25 orang kelasi Melayu. Tiap kapal disediakan dengan beberapa pucuk meriam tembaga diatur memanjang kiri kanan rusuknya.

Kapten Congalton pernah bercerita pengalamannya memburu lanun di Laut Trengganu masa “Diana” mula-mula sampai dari India. 


Satu pagi “Diana” bertembong dengan enam buah perahu gali yang sedang merompak sebuah tongkang China. Lanun-lanun yang belum pernah melihat kapal wap atau kapal api menyangkakan “Diana” yang kecil molek itu 

sedang terbakar. 


Mereka meninggalkan mangsa yang sedang mereka hadapi dan menyerbu kepada “Diana”. “Diana” sempat berkisar dan bergerak menentang angin menuju ke perahu lanun. Masa itulah lanun-lanun itu berteriak “Dia bergerak, dia bergerak!” terbelalak seolah memandang binatang yang hidup.


Congalton membedil enam-enam buah gali lanun itu. Sebuahnya tenggelam ke dasar laut, sembilan puluh orang lanun terbunuh, seratus lima puluh orang luka parah dan tiga puluh ditawan.


 Lima buah gali sempat membongkar sauh lari kepantai. Tiga daripadanya terdampar sebelum berlabuh. Tawanan-tawanan yang di selamatkan dipersembahkan kepada Sultan Berunai, ber khidmat sebagai hamba di istana baginda sebelum di jualkan.


Muhamad Ali Dato’ Setia Segera tidak mahu mengukur kekuatan Inggeris sebab dia tidak ingin berseteruan dengan “Kompeni yang ada besar kuasanya”. 


Tetapi perahu-perahu Melayu di Terang yang di lihat oleh Warren bukanlah seluruh kekuatan angkatan perang Melayu di bawah kelolaannya. 


Ada banyak lagi teluk dan ada banyak lagi 

perahu yang tidak perlu didedah-dedahkan.


KAPITAN CHINA : BABA SENG


Seorang Kapitan China yang terkenal di Kedah ialah Baba Seng. Kapitan Baba Seng tinggal di Kota Kuala Muda dan dilantik oleh Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah menjadi Kapitan China di situ. Dalam tahun 1820 Baba Seng telah dicap oleh Pulau Pinang sebagai seorang “Penyangak”. 


Kapitan Baba Seng kononnya ialah seorang pengumpul barang-barang curi dan bekerjasama dengan China-China yang menceroboh kedai-kedai kaya di Bandar Pulau Pinang. Pemerintah Inggeris di Pulau Pinang mengecapnya sebagai musuh ketat kepada Yang Berhormat Kompeni Inggeris.


Sultan Ahmad Tajuddin membuat istananya di Kota Kuala Muda dalam tahun 1804. dan Kota telah bergerak maju menjadi sebuah pelabuhan sibok dan mewah. Di Kota terdapat beberapa banyak rumah-rumah besar kepunyaan saudagar-saudagar kaya dari pelbagai kaum dan sebuah masjid yang besar. 


Di Kota terdapat sebuah rumah perjudian yang popular dihurungi oleh berbagai golongan masyarakat Kota, China kaya-kaya dari Pulau Pinang dan juga bangsawan Melayu dari Alor Setar. Pada sebelah malam, Kota Kuala Muda menjadi Kota Indera Loka yang bergemerlapan sampai fajar menyingsing.


Masa Kota Kuala Muda sibok siang dan malam inilah Baba Seng telah dilantik menjadi Kapitan China di Kota Kuala Muda. Kerja asalnya hanya menjadi seorang tukang cukur, tetapi telah meningkat menjadi seorang hartawan yang terkemuka di Bandar Indera Loka ini dalam masa yang amat singkat sekali. Di samping itu beliau menjadi orang kepercayaan Sultan dan ketua kaumnya yang dihormati.


Orang-orang China yang tinggal di Kota kebanyakkannya dari suku Hokkien datang sehelai sepinggang dari Negeri China dua ratus tahun dahulu. Mereka menjadi kuli kepada orang-orang China yang datang lebiah awal buat beberapa waktu sebelum dibebaskan untuk mencari nafkah sendiri. 


Apabila telah bebas mereka pula menjadi tokeh kepada orang-orang China lain yang mendatang dari Negeri China dan mereka inilah yang membuka kedai-kedai runcit, rumah judi dan bilik-bilik candu. Ramai orang-orang China yang menjadi orang-orang tengah dalam perniagaan bijih timah yang banyak terdapat di Baling dan di Keroh pada masa itu. 


Orang-orang China yang tua-tua masih ingat bagaimana datuk mereka membawa kain dan candu mentah kependalaman di hulu-hulu Sungai Muda dan membawa keluar hasil-hasil seperti rotan, damar, bijih timah, lada hitam, kelapa kering dan sekali sekala membawa gajah seekor dua untuk dijual kepada saudagar-saudagar Pulau Pinang kerana mencari untung “seringgit dua”.


China-china Hokkien di Kota setengahnya telah berkahwin dengan gadis-gadis Melayu dan memlok ugama Islam. Hingga hari ini masih terdapat China-china Islam tiga empat keturunan yang tinggal di Kota.


Perkembangan perusahaan bijih timah dunia dan kesibukan Pulau Pinang sebagai pusat perniagaan bijih memberi kesan pula kepada pelabuhan kecil di Kota Kuala Muda ini. Kota maju sebagai sebuah pekan yang mengumpul bijih-bijih timah dari Baling dan Keroh.


 Cukai-cukai yang dikenakan keatas bijih yang dibawa keluar dari mulut Sungai Muda dan cukai kepada barangan-barangan yang dibawa masuk kependalaman Sungai tersebut menjadikan Kota sebuah pekan yang kaya raya. Ketika kesibukan lalu lalang di Sungai Muda bertambah meningkat, pungutan cukai dan hasil menjadi kelamkabut.


 Pegawai-pegawai yang dilantik oleh Sultan untuk menjalankan tugas memungut hasil dan cukai di pintu Kuala mabuk dengan peluang-peluang yang terdedah dan mula mengumpul kekayaan untuk diri sendiri; sedangkan pendapatan untuk Sultan dan Perbendaharaan Negeri tidak bertambah langsung.


Mengatasi masalah ini Sultan bertindak memajakkan tugas memungut hasil dan cukai di pintu Kuala kepada dua orang China dari Pulau Pinang yang sanggup membayar kepada Baginda dua puluh peratus dari semua pungutan yang mereka lakukan. Dua orang China itu ialah Che’ Seong dan Che’ Toah. 


Sultan berpuas hati dengan pendapatan 

yang agak kecil tetapi tetap sekurang-kurang

nya untuk lima tahun iaitu masa sekali-sekali pajakan ini berlangsung. Selepas lima tahun Sultan boleh menyambungkan lagi pajakan ini kepada mereka atau kepada orang lain mengikut persetujuan Baginda.


Kerana Che’ Seong dan Che’ Toah tinggal di Pulau Pinang dan mempunyai perusahaan-perusahaan lain lagi mereka telah menyerahkan kuasa memungut hasil dan cukai di Kota Kuala Muda kepada Baba Seng yang dilantik oleh Sultan menjadi Kapitan China di situ.

Dalam bulan Oktober 1818, Gabenor Bannerman di Pulau Pinang telah menghantar sebuah perahu ke Petani. Di dalam perahu itu dimuatnya beberapa barangan istimewa, wang dan candu yang hendak dihadiahkannya kepada seorang Raja di sana. 


Perahu besar ini memasuki Kuala Sungai Muda dengan dikawal oleh beberapa orang sepahi yang bersenjata dan telah enggan membayar cukai di pintu Kuala. Perahu ini ditahan oleh Baba Seng di Kota Kuala Muda dan Baba Seng telah merampas beberapa tiub candu dan mengambil sedikit wang dari sepahi-sepahi itu.


 Peristiwa ini telah dilapurkan segera kepada Bannerman. Beliau terus membuat bantahan kepada Sultan Ahmad Tajuddin dan mendesak Baginda supaya menghukum berat keatas beberapa orang China yang berani merampas dan menahan harta dan kakitangan Syarikat Hindia Timor.


Sultan menjawab surat Gabenor Inggeris dengan lemah lembut memuji kebijakan Gabenor itu memerintah Pulau Pinang dan Baginda merasa megah sebab dapat berbaik-baik dengan “Sahabat Beta” yang menjadi wazir Raja Yang Maha Besar lagi Maha Perkasa. “Kedah dan Pulau Pinang dua buah negeri ini bersahabat atawa di laut atawa di darat selama dan selagi bergerak dan bercahaya matahari dan bulan”.


Kemudian Baginda menyebut bahawa Baginda akan mengeluarkan hukuman supaya Che’ Seong dan Che’ Toah mengembalikan semula benda-benda yang dirampasnya dahulu setelah “Sahabat Beta menjelaskan cukai-cukai yang patut dijelaskan 

kepada mereka”.


Gabenor Pulau Pinang marah berbelit-belit membaca ayat yang terakhir itu lalu megutuskan sepucuk surat mengugut Sultan supaya memansuhkan perjanjian-perjanjian dengan Baba-baba China yang samseng ini dan mendesak supaya Baba Seng digantikan oleh orang lain menjadi Kapitan China di Kota Kuala Muda. Sebagai wazir agung kepada Raja Maha Besar Negara Inggeris, beliau tidak layak dan dibawah tarafnya berunding semeja dengan Baba Seong dan Baba Toah, mereka adalah hamba rakyatnya sendiri.


Gabenor Bannerman mengingatkan Sultan Ahmad Tajuddin bahawa Baba Seng di Kota Kuala Muda telah menyinggong pemerintah Inggeris di Pulau Pinang dengan kekasarannya terhadap kakitangan Yang Berhormat Kompeni.


Sultan memberitahu Bannerman bahawa Baginda telah mengarahkan Che’ Seong dan Che’ Toah memulangkan barangan-barangan yang dirampas dari perahu “Sahabat Beta” dahulu dengan segeranya seelok-elok sahaja Gabenor menunaikan pembayaran cukai-cukai seperti yang telah dipertetapkan oleh adat resam negeri kita. Sultan berdukacita dan amat kesal sekali kerana tidak berupaya hendak memansuhkan pajakan memungut cukai dan hasil ini sebab belum sampai lagi masa lima tahunnya. 


Jika berbudi dan menjadi buah mulut orang sampai akhir zaman. Gabenor Bannerman sahabat beta yang menjadi wazir kepada Maharaja Yang Maha Besar tentulah lebih faham keadaan ini dan dapat bertimbang rasa dengan Beta.


Gabenor Bannerman senyap tidak dapat berkata apa-apa selepas membaca perutusan dari Sultan Ahmad Tajuddin. Gabenor seterusnya menahan sepucuk grant tanah nombor 619 yang disandarkan oleh Che’ Seong dan Che’ Toah kepada Kerajaan Pulau Pinang.


 Permohonan Che’ Seong dan Che’ Toah kepada Pemungut Hasil Tanah Pulau Pinang untuk menebus kembali Grant Nombor 619 itu telah di “peram” di Pejabat Tanah dan akhirnya permohonan itu ditolak begitu sahaja.


Terang dan jelas tindakan ini dibuat adalah sebagai memuaskan hati Bannerman yang marah meluap-luap terhadap tindakan Kapitan China Baba Seng wakil mutlak orang berdua ini. Baba Seng dicap oleh Pulau Pinang sebagai “penyangak” pengumpul barang-barang curi dan bekerjasama dengan penjahat-penjahat yang menceroboh kedai-kedai di Pulau Pinang.


Tahun 1821 Kedah diserang oleh Siam dan Sultan Ahmad Tajuddin berundur ke Pulau Pinang. Pada masa ini Gabenornya telah bertukar dengan orang lain, Encik Phillips pula. Bannerman telah meninggal dunia dalam tahun 1819.


Apabila Siam memerintah Kedah, Kota Kuala Kedah diduduki oleh Siam dan Baba Seng tinggal di Kota sebagai ketua kaum China.


Dalam tahun 1825 Baba Seng dan dua orang lagi orang China telah diperintah oleh Anak Raja Legor yang memerintah Kedah pada masa itu supaya pergi ke Pulau Pinang dan belikan “ Sepuluh koyan garam dan beberapa puluh pucuk senapang yang lengkap dengan sangkor atau benetnya”.


Baba Seng dan kawan-kawannya tidak pergi ke Pulau Pinang tetapi telah masuk kedalam persembunyian. Macam-macam boleh dikatakan kepada Baba Seng ini tetapi yang perlu diberi perhatian ialah kepada jiwanya yang setia kepada Sultan Kedah tidak silu-silu menentang Inggeris yang cuba memperbodohkan Sultan dan dia tidak sekali-kali akan membekalkan senapang dan benet kepada Siam yang diketahuinya akan digunakan untuk menindas orang-orang Melayu.


,

Catat Ulasan

0 Ulasan