Mohamad Azmi Mat Rashid, [08.05.20 00:00]
SIRI PARA ANBIYA': PESANAN NABI 'ISA KEPADA MURIDNYA
Pada suatu hari, Nabi 'Isa pun mengumpulkan para muridnya. Kemudian beliau mendaki sebuah bukit lalu beliau pun duduk. Kemudian para muridnya menghampirinya. Nabi 'Isa pun berkata: "Wahai muridku, pada hari ini akan ku sampaikan beberapa pesan dan larangan kepada kamu semua".
"Apabila kamu dihina dan dianiaya serta difitnah, bergembira dan bersukacitalah kerana kamu akan memperoleh ganjaran di Syurga".
"Kamu ibarat garam. Jika garam menjadi tawar, tidak mungkin ia akan masin semula. Tidak berguna lagi dan layak dibuang".
"Kamu juga ibarat cahaya. Biarlah ia bersinar di hadapan orang ramai supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik lalu memuji Allah".
"Jangan sangka aku datang untuk menghapuskan Taurat dan ajaran Nabi -Nabi terdahulu. Aku datang bukan untuk menghapuskan tetapi untuk menunaikan segala-galanya. Sesungguhnya aku berkata kepada kamu selagi ada .langit dan bumi, satu titik atau huruf yang terkecil pun tidak akan hapus daripada Taurat sebelum semuanya ternyata berlaku. Dengan demikian, jika seseorang yang melanggar hukum yang kecil dan mengajak orang lain melanggarnya, dia akan tergolong antara mereka yang dimasukkan ke dalam Neraka dan jika seseorang mematuhi Taurat dan mengajar orang lain turut patuh, dia akan menjadi orang yang paling mulia di Syurga. Aku katakan kepada kamu semua bahawa sesungguhnya kamu tidak akan masuk Syurga jika kesolehanmu tidak lebih daripada kesolehan ahli Taurat dan orang Farisi".
"Janganlah kamu membunuh. Barangsiapa yang membunuh akan dihakimi".
"Jangan sesekali kamu berzina. Sesiapa yang memandang seorang wanita dengan berahi, sesungguhnya dia telah berzina dengan wanita itu di dalam hati. Jika mata kananmu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buangkan mata itu. Lebih baik kamu kehilangan satu bahagian tubuhmu daripada seluruh tubuhmu terhumban ke dalam Neraka. Begitu juga sebaliknya".
"Jangan sesekali kamu bersumpah palsu. Tunaikan sumpahmu kepada Tuhan. Janganlah kamu bersumpah demi langit kerana langit itu takhta Tuhan, jangan bersumpah demi bumi kerana bumi ini alas kaki-Nya. Katakan saja Ya atau Tidak".
"Janganlah kamu membalas dendam terhadap orang yang berbuat jahat kepadamu".
"Ingatlah jangan kamu buat amal ibadat di khalayak ramai supaya dilihat orang. Sesungguhnya kamu tidak akan mendapat ganjaran daripada Tuhan di Syurga. Jika kamu bersedekah kepada orang miskin, jangan heboh-hebohkan seperti orang munafik meniup sangkakala di Saumaah dan jalan raya supya dipuji orang. Sesungguhnya Tuhan yang melihat amalanmu yang tersembunyi itu akan memberi ganjaran kepadamu".
"Apabila kamu berdoa, janganlah seperti orang munafik. Mereka suka berdoa sambil berdiri dan di simpang jalan supaya dilihat orang. Ketika berdoa janganlah curah-curahkan kata-kata yang tidak bermakna seperti orang yang tidak mengenal Tuhan. Jika berdoa masuklah ke dalam bilik supaya tidak kelihatan oleh orang. Sesungguhnya Tuhan mengetahui apa yang kamu lakukan secara sembunyi".
"Apabila berpuasa, janganlah tunjuk muka lesu seperti orang munafik. Mereka memperlihatkan wajah mereka menderita supaya semua orang tahu mereka berpuasa".
#MAMR
0 Ulasan