Seni silat menelusuri asal-usulnya dari awal peradaban dunia Melayu dan ia adalah seni yang unik dan kaya dengan dimensi kerohanian. Seni bela diri dan bertempur ini kebanyakannya membawa jalan Islam dan terkait dengan ajaran Islam.
Ilmu persilatan berkembang menjadi tradisi yang halus melalui latihan rohani dan jasmani yang merangkumi aspek-aspek tradisi, seni dan adat tradisional Melayu. Asas falsafah silat Melayu seterusnya telah disesuaikan dengan Islam lantas memberikan garis panduan dan pedoman berkenaan dengan Islam.
Memang terdapat hubungan antara silat dan agama Islam, dan ia adalah sangat terpahat dalam lembaran budaya Melayu dan alam Nusantara. Menurut kesusasteraan lisan Melayu, perkataan ‘Silat’ berasal dari perkataan Arab ‘silah’, iaitu ‘senjata’ atau ‘perang’ dan juga ‘silsilah’ yang maknanya ‘rantaian’ atau ‘sambungan’.
Dari masa ke masa, perkataan itu dipercayai telah dimelayukan menjadi ‘Silat’ (dengan cara yang sama bagi perkataan-perkataan Arab lain seperti karamah menjadi keramat dan hikmah menjadi hikmat). Oleh yang demikian, asal usul akar perkataan ini menunjukkan bahawa silat secara falsafahnya adalah berdasarkan ajaran Islam.
Misa Melayu, karya pensejarahan sastera Melayu bergaya nyata dan berprosa jawi, hasil karangan Raja Chulan ibni Raja Abdul Hamid (1720-1786) sebagai pujangga istana negeri Perak ketika itu telah menggambarkan silat sebagai gaya bertempur secara umum. Istilah seni bela diri silat ini dikenali sebagai ilmu perang, ilmu hulubalang dan ilmu perajurit.
Terdapat sesuatu yang mendalam dan menarik tentang persamaan antara ajaran Islam dan seni silat – kepentingan ketekunan dalam mengekalkan disiplin. Pada hakikatnya, seni silat dan tradisi Islam berkongsi ikatan dan sejarah yang unik, di mana dalam keduanya terkandung cara atau jalan untuk mencapai tujuan yang lebih besar.
Antara yang boleh difahami juga ialah keperluan mengawal diri wujud dalam seni mempertahankan diri dan ajaran tradisional Islam. Falsafah Islam digunakan oleh pengamal seni silat dengan memberi tumpuan kepada aspek latihan rohani dan fizikal. Keperluan untuk membuat keputusan dengan tenang dan menguasai diri adalah tradisi yang ditegakkan oleh Islam.
Seperti yang diterangkan dalam tradisi Nabi Muhammad SAW: “Siapa yang kamu anggap seorang ahli gusti di antara kamu? Mereka menjawab: (lelaki) yang tidak dapat dikalahkan semasa bertarung. Baginda berkata: Tidak, dia yang mengawal dirinya apabila dia marah.” (Hadis riwayat Sunan Abi Dawud, Kitab Al-Adab, bab menahan kemarahan)
Dari segi makna bahasa, istilah ‘Pencak Silat’ juga digunakan untuk merujuk kepada ilmu luaran (zahir) gaya bertempur. ‘Seni Silat’ pula menggarap erti seluruh pengetahuan tentang sesebuah jenis silat, termasuk ilmu dalaman atau batin. Perbezaan kehidupan dan tamadun alam Nusantara Melayu yang lampau, yang diwakili wilayah Asia Tenggara sekarang, telah menimbulkan banyak gaya silat yang berbeza.
Namun, ikhtisar seninya adalah sama iaitu menggunakan langkah dan gerakan (jurus) untuk menangkis atau menyerang, sama ada tanpa senjata atau dengan menggunakan senjata. Seperti yang diketahui dunia seni persilatan, silat mempunyai banyak juraian dari zaman ke zaman. Semuanya diwarisi dan ada yang telah disesuai dan diperbaharui sehingga ke rupa bentuknya sekarang. Antara silat-silat yang diketahui umum termasuk silat Cekak, Gayung, Lincah, Harimau dan Sendeng.
Jika bersenjata, pesilat boleh menggunakan keris, kapak, kerambit atau lembing. Senjata bukan tajam termasuk tongkat, perisai dan rantai. Nama besar dunia persilatan sudah pastinya adalah legenda Melayu Hang Tuah yang gelaran tertingginya adalah Laksamana Tun Tuah. Tuah adalah seorang pendekar silat, cendekiawan, duta besar dan hulubalang samudera tentera Kesultanan Melayu Melaka.
Amalan dan kelangsungan seni silat juga dihidupkan melalui pelbagai aspek termasuk ritual, tarian, perhiasan dan simbol. Suatu hal menarik dalam budaya persilatan Melayu yang mungkin tidak begitu diketahui bagi yang tidak mengamalnya ialah, seseorang dapat belajar dan mengesan hubungan antara kematian dan alam akhirat.
Seni silat juga berupaya mengubah seseorang secara rohani dan jasmani dalam menghapuskan rasa takut akan kematian. Berkenaan dengan kematian pula, prinsip perundangan Islam berkaitan membela diri (self-defence) mempunyai asas undang-undang yang khusus. Prinsip pertama dan terpenting menetapkan bahawa membunuh ketika membela diri adalah dibolehkan di bawah perundangan Islam.
0 Ulasan