SEJARAH PEMBUNUHAN PARA ULAMA TERBESAR DI ALAM MELAYU

Sejarah pembunuhan para ulama yang terbesar atau teramai di Alam Melayu bukan dilakukan oleh penjajah, tetapi oleh orang tempatan sendiri yang beragama Islam. Walaupun Belanda membunuh ramai ulama Alam Melayu, tetapi tidak seramai yang dibunuh oleh tokoh ini.

Beliau telah membunuh bukan 60 orang, bukan juga 600 orang. Tetapi beliau telah membunuh lebih 6000 orang para ulama, pelajar agama (santri) dan ahli keluarga mereka!

Dalam lipatan sejarah Kesultanan Islam Mataram yang berpusat di Yogyakarta, Sultan Agung (1613-1646) atau nama sebenarnya Raden Mas Rangsang terkenal sebagai seorang sultan yang soleh dan adil.

Sultan Agung dikenali sebagai seorang sultan yang taat menjalani perintah agama. Baginda sangat mencintai para ulama. Disebabkan kecintaanya itu, baginda turut mengalu-alukan kedatangan para ulama dari luar untuk menetap di Mataram.

Di samping itu, Sultan Agung berusaha menegakkan syariat Islam, memerintahkan rakyatnya menutup aurat, mewajibkan para pembesarnya untuk solat berjemaah di masjid dan memakai blangkon (kopiah Jawa). Sultan Agung juga memusuhi dan berperang dengan Belanda. Kedudukan para ulama di Jawa sangat kukuh ketika zaman pemerintahannya.

(Kisah lengkap Sultan Agung ini ada saya ceritakan dalam buku Raudhatus Salatin : Sejarah Sultan-sultan Soleh Di Alam Melayu)

Selepas kemangkatannya pada tahun 1646, takhta Kesultanan Islam Mataram digantikan oleh puteranya iaitu Raden Mas Sayidin yang bergelar Sultan Amangkurat I (1646 - 1677).

Namun, sifat dan peribadi antara Sultan Agung dan Amangkurat I sangat jauh berbeza umpama langit dan bumi. Jika Sultan Agung dikenali sebagai seorang yang mencintai ulama, Amangkurat I pula terkenal sebagai seorang yang zalim dan sangat membenci ulama.

Di bawah pemerintahan Sultan Amangkurat I, amalan perundangan yang berasaskan Islam sebagai mana yang dilaksanakan oleh Sultan Agung juga turut terkubur. Beliau hidup penuh dengan maksiat. Di samping itu, Sultan Amangkurat I juga bekerjasama dan bersahabat dengan Belanda.

Kerana kebenciannya terhadap para ulama, Sultan Amangkurat I telah membunuh lebih 6,000 orang para ulama, santri dan ahli keluarga mereka. Oleh itu, Sultan Amangkurat I dibenci dan dimusihi oleh ramai orang termasuk puteranya sendiri.

Maka puteranya yang bernama Raden Mas Rahmat bekerjasama dengan pahlawan Madura bernama Trunojoyo untuk menggulingkannya. Setelah Sultan Amangkurat I digulingkan, maka Raden Mas Rahmat pun menaiki takhta Kesultanan Mataram dan bergelar Sultan Amangkurat II.

Sultan Amangkurat I pun terbuang dan melarikan diri dari Mataram. Namun kemudiannya beliau telah mati terbunuh akibat diracun oleh Sultan Amangkurat II.

Gambar di bawah ini adalah tapak istana (keraton) Kesultanan Mataram di Pleret, Yogyakarta, tempat bersemayamnya Sultan Agung dan Sultan Amankurat I. Di sinilah para ulama pernah dimuliakan dan di sini juga para ulama pernah dizalimi.

Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam

Catat Ulasan

0 Ulasan