PENGHARAMAN ARAK DALAM LIPATAN SEJARAH TANAH AIR

Sebelum kedatangan Islam, arak menjadi sebahagian dari budaya Melayu seperti mana bangsa-bangsa timur yang lain. Setelah kedatangan Islam, para pendakwah dari kalangan ulama berusaha untuk menghapuskan maksiat-maksiat yang berlaku termasuk budaya minum arak dengan cara halus dan penuh berhikmah.

Setelah kukuhnya kedudukan Islam yang menyaksikan para ulama mendapat tempat yang istimewa di istana, dakwah amal ma’ruf nahi mungkar tidak hanya dilakukan oleh para ulama, malah turut disokong dan dilaksanakan oleh sultan.

Dengan itu, tergubalnya Hukum Kanun Melaka yang berteraskan undang-undang Islam. Justeru, pelabuhan Kota Melaka yang diiktiraf oleh Portugis sebagai salah satu pelabuhan terkaya dan terpenting di dunia telah mengharamkan penjualan arak di Kota Melaka.

Menurut Fasal 30 Hukum Kanun Melaka:-

“Pada menyatakan segala hukum berniaga itu. Bermula hendaklah benda yang suci dijual itu dan tiada sah berniaga benda yang cemar iaitu seperti tuak dan arak…..”

Arak bukan sahaja dilarang dijual di Melaka, malah sesiapa yang meminum arak akan dikenakan hukuman sebat. Menurut Fasal 47 Hukum Kanun Melaka:-

“Peri had minum tuak arak- Barang siapa minum tuak arak, barang segala yang mabuk…jika merdeka dua puluh palu juga (sebat).”

Undang-undang pengharaman arak ini terus diwarisi oleh kerajaan-kerajaan warisan Kesultanan Melayu Melaka. Hal ini dapat dibuktikan dari Fasal 52 Hukum Kanun Pahang yang menyatakan:-

“Peri pada menyatakan hukum orang yang minum arak atau tuak atau segala yang memabukkan. Hukumnya empat puluh palu, jika merdeka.”

Undang-undang yang sama turut dilaksanakan di Johor dan Perak. Selain itu, negeri-negeri lain turut menjadikan minum arak sebagai satu kesalahan jenayah dan diharamkan.

Hukum Maksiat Di Kelantan menyatakan :-

“Dan daripada mungkar yang besar itu iaitu membenarkan jualan arak di dalam negeri Islam…”

Begitu juga dengan Undang-undang Kedah yang menyatakan:-

“Yang pertama kami nyatakan undang-undang, barang siapa mencuri, atau menyamun, atau menyabung, atau makan madat, atau main judi bertaruh-taruhan….atau minum arak dan tuak….hendaklah tangkap dan tikamnya, hantarkan ke negeri segala yang derhaka itu.”

Namun, kemasukan Inggeris ke Tanah Melayu menyebabkan undang-undang Islam yang selama ini menjadi teras utama perundangan dalam negeri-negeri di Tanah Melayu mula diketepikan secara halus. Selepas British memerintah Melaka melalui perjanjian Inggeris -Belanda 1824, institusi kehakiman Islam telah diletakkan di bawah hirarki Mahkamah Inggeris di mana kedudukan Mahkamah Kadi diletakkan di bawah sekali.

Ini bermakna keputusan-keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Kadi mesti dirayu di Mahkamah British. Ini juga bermakna Inggeris telah mencampuri pentadbiran institusi kehakiman Islam dan meletakkannya di bawah pentadbiran Mahkamah British.

Dasar yang diamalkan oleh Inggeris ini menyebabkan institusi kehakiman Islam terhapus secara halus dan hilang ciri-cirinya. Inggeris juga telah memperkenalkan tiga piagam yang dipanggil Charters of Justice (Piagam Keadilan Pertama) pada tahun 1807, (Piagam Keadilan Kedua) pada tahun 1826 dan (Piagam Keadilan Ketiga) pada tahun 1885.

Semua ini bertujuan untuk mengangkat taraf Undang-undang Inggeris dan secara tidak langsung menenggelamkan serta menyisihkan Undang-undang Islam yang dulunya diamalkan sebagai undang-undang tempatan.

Sejak itu, kesalahan-kesalahan di bawah perundangan Islam seperti meminum arak tidak lagi dianggap sebagai satu kesalahan. Lebih memeritkan, berlakunya gerakan pembaratan pada awal abad ke-20 oleh tokoh-tokoh tempatan sendiri yang dianggap sebagai gerakan modenisasi. Golongan ini menjadikan kehidupan orang barat sebagai contoh dan lambang kemodenan.

Oleh itu, kesannya dapat dirasakan pada pertengahan abad ke-20 hinggakan perbuatan minum arak dianggap sebagai sesuatu yang biasa. Malah arak bebas diiklankan dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah Melayu. Hinggakan ada iklan yang menunjukkan arak Cap Harimau (Tiger Beer) sebagai minuman istimewa Hari Raya. Ini sesuatu yang sangat menyedihkan.

Alhamdulillah, tahun 1980an menyaksikan bermulanya perkembangan Islam yang subur di tanah air. Selain dari bersemaraknya gerakan-gerakan Islam seperti Jemaah Tabligh, ABIM, Al-Arqam dan sebagainya, pada tahun 1984 Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 digubal yang membawa kepada kewujudan Enakmen Kanun Jenayah Syariah di negeri-negeri di seluruh Malaysia yang memperuntukkan minum arak sebagai satu kesalahan jenayah Syariah di kalangan orang-orang Islam dan boleh dihukum.

Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam

Catat Ulasan

0 Ulasan