SALASILAH
GELARAN NAMA TENGKU/ENGKU/KU/RAJA/TUAN BAGI KETURUNAN RAJA-RAJA NEGERI
KELANTAN/PATTANI
Umumnya
ramai di antara kita semua yang mungkin tidak mengetahui kenapakah wujudnya
pelbagai nama-nama gelaran ini sedangkan ianya berasal dari satu zuriat yang
sama. Adakah kita semua mempercayai atau tidak bahawa salasilah raja-raja di
nusantara adalah berasal dari satu zuriat yang sama bersenambungan dari
salasilah Nabi Muhammad S.A.W? Apa yang kita tahu hanyalah gelaran tersebut
adalah berasal dari golongan istana. Apa bezanya nama-nama gelaran ini?
Di zaman
kesultanan Melayu keluarga diraja akan meletakkan prediket “Raja” pada pangkal
nama anak dan cucu mereka sebagai mengenal diri dari zuriat dan baka keturunan.
Contohnya penamaan “Raja Bahar” dan sebagainya. Apabila diangkat menjadi raja,
barulah gelaran raja tersebut ditukar kepada gelaran “Sultan”.
Dalam
konteks sistem pemerintahan raja-raja Melayu di zaman dahulu kala, perlu
diingatkan bahawa tidak seperti jawatan Perdana Menteri yang terdapat dalam
corak sistem pemerintahan negara kita pada hari ini. Jawatan raja dan juga
bendahara merupakan jawatan turun temurun keluarga sebagaimana kedudukan sultan
yang menerajui pemerintahan negeri di mana layak diwarisi oleh anak dan cucunya
sahaja.
Dengan
wujudnya jawatan bendahara yang dari zuriat raja contohnya, Bendahara Paduka
Raja, Bendahara Paduka Tuan dan sebagainya maka lahirlah penamaan prediket
“Tuan” pada pangkal nama sebagai mengenal diri dari jurai sesebuah keluarga
yang mempunyai tradisi pensejarahan yang lama.
Selain dari
itu mengikut adat istiadat kesultanan Melayu Kelantan/Pattani lama, seorang
sultan dibahasakan “Tuanku”. Tuanku pula membahasakan diri “Beta” dan perkataan
“Patik” digunakan bagi menggantikan diri hamba @ saya bila bercakap dengan
raja-raja serta keturunan baginda menggunakan prediket “Raja” dipangkal nama
dan dibahasakan sebagai Tengku @Te’ku @ Ku, sedangkan keluarga bendahara
meletakkan prediket “Tuan” di pangkal nama dan dibahasakan sebagai “Engku” yang
ditarifkan sebagai ‘darah separuh raja’.
Cuma sejak
akhir-akhir ini apabila berlaku perubahan zaman telah membuat penamaan gelaran
tengku lebih teratas apabila berlakunya kewujudan jawatan sebagai contoh,
Tengku Bendahara, Tengku Laksamana, Tengku Temenggung, Tengku Mahkota dan
lain-lain serta yang akhir Tengku Sri Akar Raja. Hatta, Sultan Muhammad ke ke
IV pun bernama Tuan Senik dengan memakai gelaran Tengku Tuan Senik.
Kesimpulannya
gelaran ini adalah hak milik raja bagi mengenalkan diri mereka dari zuriat
bangsawan yang tidak boleh di pertikaikan lagi. Begitu juga dengan salasilah
gelaran Saidina yang mana berasal dari keturunan Nabi Muhammad S.A.W. Manakala
juga dengan gelaran Syeikh/Syed/Said iaitu sebutan kepada orang yang
berketurunan sahabat-sahabat nabi.
PENJELASAN
SALASILAH GELARAN “NIK” / “WAN” / “CHE” DAN LONG
NIK dalam
erti kata lain NOTED bermaksud Yang Masyur (Terkena/Ternama). Gelaran ini
berlaku dalam 3 keadaan.
Pertama,
ianya telah wujud lebih awal daripada zaman kesultanan Kelantan/Pattani iaitu
di zaman Kerajaan Champa dengan wujudnya nama Datu Nik Musthapa.
Kerajaan
Champa ialah Negara Melayu yang cukup luas (iaitu hampir meliputi keseluruhan
pantai timur Indochina).hilang dari peta dunia sebagaimana kehilangan pulau
Singapura.
Kedua,
gelaran NIK dari keturunan raja-raja di Negeri Kelantan. Di mana gelaran
tersebut diberikan kepada anak sekiranya bonda beliau yang bergelaran
TENGKU/ENGKU/KU/RAJA/TUAN berkahwin dengan orang yang bukan berketurunan raja.
Ketiga NIK
yang terdiri daripada pekerja istana yang bukannya dari aliran darah diraja.
WAN pada
asalnya adalah berasal dari keturunan bangsawan. Penamaan gelaran ini berlaku
dalam banyak keadaan malah ianya juga telah wujud di bawah Kerajaan Champa
dengan wujudnya nama Wan Bo atau Raja Bo Tri anak kepada Ali Nurul Alam (Patih
Majapahit Barat yang berpusat di Kelantan) serta cucu kepada Sayyid Hussein
Jamadil Kubra, tokoh terulung penyebar syiar Islam di Nusantara .
Dijelaskan
juga nama “Wan” ialah gelaran bagi keturunan Nabi Muhammad s.a.w. (Ahlul Bait)
di kalangan warga Arab-Indonesia dan juga Malaysia, lazimnya dari zuriat Sayyid
Jamaluddin Al-Hussein di Tanah Jawa. Selain “Wan”, mereka yang merupakan
keturunan Nabi Muhammad SAW mendapat berbagai panggilan (gelar) penghormatan
lain, seperti Syed, Sayyid, Syarif dan Habib. Para Ahlul Bait sangat dihormati
pada masyarakat muslim Indonesia kerana dianggap sebagai tali pengetahuan yang
murni, namun penghormatan ini sangat membuat gusar para kelompok anti-sunnah
yang mengkait-kaitkan hal ini dengan bid’ah.
Bagi
keturunan bangsawan Melayu yang menggunakan gelaran “Wan” adalah dari keturunan
Ahlul Bait, Keturunan Raja Kelantan/Pattani di zaman Cik Siti Wan Kembang dan
keturunan bangsawan Melayu Kedah.
Ketiga,
gelaran “Wan” yang dari keturunan raja-raja di Negeri Kelantan. Di mana gelaran
tersebut diberikan kepada anak sekiranya bonda beliau yang bergelaran NIK
berkahwin dengan orang yang bukan berketurunan raja.
Keempat
gelaran “Wan”yang diberi kepada golongan mualaf yang memeluk islam sebagai satu
penghormatan dan bukan dari kalangan dari bangsawan. Selain daripada itu Wan
yang terdapat di negeri lain mempunyai makna @ maksud tersendiri. Oleh kerana
banyaknya keturunan “Wan” yang mempunyai maksud @ makna yang berbeza-beza
membuatkan Kerabat Raja-Raja Kelantan menggugurkan penamaan gelaran ini pada
anak-anak mereka.
Che atau
dalam ejaan lain Cie juga telah wujud di zaman kerajaan Chempa yang bermaksud
Sri atau Raja .Malah gelaran Che telah pun wujud di sana seperti nama Che Bo
Nga iaitu seorang pemerintahan raja yang teragong kerana berjaya membela nasib
pemerintahannya secara sendiri pada ketika itu. Di Malaysia gelaran Che juga
memberi maksud tersendiri. Suatu ketika dahulu gelaran ini pernah juga berlaku
kepada kerabat Raja-Raja Kelantan/Pattani di mana gelaran tersebut diberikan
kepada anak sekiranya bonda beliau yang bergelaran Wan berkahwin dengan orang
yang bukan berketurunan raja. Malah pernah juga berlaku penamaan gelaran Che
kepada mualaf yang memeluk islam sebagai sati penghormatan. Oleh kerana
banyaknya keturunan Che yang mempunyai maksud @ makna yang berbeza-beza
membuatkan Kerabat Raja-Raja Kelantan menggugurkan penamaan gelaran tersebut.
LONG berasal
dari perkataan “sulong” iaitu anak sulong. Sudah menjadi kebiasaan dalam
masyarakat Melayu, anak sulong dipanggil “long”, ”kak long” atau “abang long”.
Sudah menjadi adat di kalangan raja-raja Melayu, putera sulong mereka akan
mewarisi takhta. Ada juga pendapat yang mengatakan perkataan “Long” itu berasal
daripada perkataan bahasa Siam ”Luang” yang bererti “Putera”. Ini berasaskan
hakikat bahawa semua anak-anak lelaki diberi pangkal nama “Long” tanpa mengira
samada anak sulong atau tidak.. (Ini berbeza dengan Long Jaafar di Perak kerana
adiknya ialah Ngah Ibrahim). Di Terengganu anak-anak perempuan diberi pangkal
Nan @ Nang (dipercayai dari perkataan “Nae” bererti “Puteri” dalam bahasa Siam.
0 Ulasan