Rekod & Sejarah: Pesawat Tentera Amerika Mengebom Pulau Kambing, Kuala Trengganu - 1945.
Deskripsi :
23 Julai 1945, sekumpulan kapal terbang (US PB4Y-2 Privateers bomber) pasukan pengebom tentera Amerika Syarikat (Patrol Bombing Squadron 111 (VPB-111)U.S.Navy) tiba dari pengkalan tentera di Kepulauan Palawan, Filipina (Palawan Army Air Field) dalam misi memusnahkan infrastruktur serta melemahkan sistem pertahanan landasan kapal terbang di Gong Kedak, Besut, Limbungan Kapal di Pulau Kambing, Kuala Trengganu serta stesen dan landasan keretapi di Kuala Dungun. Pengeboman ini merupakan sebahagian dari misi tentera Amerika dalam membantu tentera British merampas semula Tanah Melayu dari cengkaman tentera Jepun di Asia Tenggara.
Perkongsian peristiwa ini berdasarkan capaian informasi sejarah dari laporan “Aircraft Action Report” oleh Lt .( jg) R. B. Dunbar, Lieut. J W.Reitjes dan Lieut. (jg) Robert yang merupakan sebahagian dari koleksi “World War II War Diaries 1941 – 1945 Tentera Amerika Syarikat. Rekod-rekod ini di klasifisikasikan sebagai Rahsia (Confidential) sebagaimana Executive Order 13526: Classified information in the United States. 31 Disember 2012 – koleksi rekod-rekod ini telah diturunkan/ditukarkan taraf kelas kepada terbuka oleh Arkib Negara Amerika Syarikat (NARA) kepada orang awam. Kini rekod-rekod tentera ini boleh di akses dari Arkib samada secara langsung ataupun atas talian samada bagi tujuan kajian ataupun penyelidikan.
“On a routine patrol to the coast of Malaya, went into Trenganu (Terengganu) to attempt to destroy shipbuilding sheds that had been noted by a previous search plane from this base. Lt. Dunbar reconnoitered the area from 1500 feet and circled once to discover any gun positions that might cover the target. He saw no revetments that would indicate the presence of A.A, so dropped down to an altitude of 100 feet and attacked the sheds by bombing and strafing. Lt. Dunbar made seven runs over the sheds getting in good 50 calibre fire and triggering off his entire bomb load of 2/ M6 incenciary clusters and 3/100 GP bombs was wide of it’s mark and hit two large 2 story buildings near the water front. The detonation of this bomb destroyed the buildings and set them a flame. During one run over the target, some small arms was observed from the roof of water front building.”
-Lt .( jg) R. B. Dunbar,Aircraft Action Report.
Lt. Dunbar dalam misi pengeboman ini mensasarkan 8 buah shed (bangsal) bengkel kapal dan 2 buah bangunan dalam kawasan limbungan serta 2 buah kapal (Sugar dogs). Walau bagaimana beliau hanya berupaya dan sempat memusnahkan 2 buah bangunan serta 2 bangunan (shed) bengkel kapal di dalam kawasan limbongan serta 2 buah kapal (Sugar Dogs). Koleksi foto-foto ini hasil dari rakaman oleh pesawat Patrol Bombing Squadron 111 (VPB-111).
Peluang keemasan ini hanya dibenarkan selama sehari sahaja kepada pengguna mengakses secara percuma bersempena sambutan hari “Memorial Day” ataupun hari memperingati tentera Amerika Syarikat yang gugur di medan perang pada setiap hari isnin terakhir di bulan Mei (27 Mei 2019) pada setiap tahun dari laman Fold3 – Historical Military Records.
Focus perkongsian sejarah pengeboman tentera Amerika Syarikat di Pulau Kambing ini berdasarkan rekod-rekod dari Arkib Negara Amerika Syarikat (NARA) yang terdiri dari laporan serangan, foto-foto dan rekod-rekod juruterbang. Jika di bandingkan dengan sumber tempatan sudah pasti ada perbezaan ketara dan bahan bacaan terbaik boleh di rujuk dari sebuah buku novel bertajuk “Dibawah Alunan Ombak” karya Dato Abd.Rashid Ngah bekas Exco Kerajaan Terengganu, keluaran Dewan Bahasa & Pustaka pada tahun 1961.
Peristiwa pengeboman ini menjadi satu sejarah hitam yang meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk di Pulau Kambing, Losong, Hiliran dan sekitar bandar Kuala Trengganu. Selain dari kemusnahan harta benda dan tempat tinggal, tidak kurang juga kematian menimpa kepada orang awam namun jumlah yang korban serta cedera setakat ini masih belum di ketahui secara tepat.
Penelitian dan pencarian bahan-bahan bagi peristiwa hitam ini menjadi lebih bermakna berikutan cerita ini menjadi “Sejarah Lisan” penting keluarga sendiri (Admin) yang pernah di sampaikan oleh nenek dan datuk dari sebelah bonda.
Selang 15 hari daripada peristiwa ini, bonda selamat di lahirkan di kampung Gelegoh lama, Binjai Rendah ketika nenda masih dalam keadaan berpindah randah kerana khuatirkan keselamatan yang tidak menentu. Peristiwa hitam ini hampir mencecah 74 tahun namun masih menjadi sebahagian dari tradisi “Sejarah Lisan” yang di sampaikan turun temurun buat keluarga di sekitar Kuala Terengganu.
Jutaan Terima Kasih kepada Tuan Zafrani Arifin (Malaya Historical Group) kerana sudi membantu serta berkongsi foto-foto ini dari laman FB beliau.
Rujukan :
1.FB Tuan Zafrani Arifin & Sejarah Peminat Sejarah Militer (KPSM).
2.Laman Fold3 - Historical Military Records.
3.Arkib Negara Amerika Syarikat - National Archives and Records Administration (NARA), United States.
4.US PBY-4 Privateeer bomber – Wikipedia.
5.Jun 1945, Anggota pasukan VPB-111. Foto di rakam di Palawan, Filipina. Sumbangan Tuan FB Lordman Kerol.
6.Novel - Dibawah Alunan Ombak, Dato Abd.Rashid Ngah,1961,Kuala Lumpur,DBP.
- Versi Jawi - FB Idris Talu.
- Versi Roman Melayu – FB Azlen Nor.
0 Ulasan