KISAH LAGA AYAM BUGIS VS TERENGGANU


Di daerah Besut Terengganu, ada satu mitos sejarah yang mana kebanyakan orang percaya bahawa suatu masa dahulu Besut merupakan salah satu daerah dalam negeri Kelantan. Bagaimana mitos sejarah ini boleh lahir tidaklah diketahui namun mungkin lahirnya mitos ini kerana masyarakat di Besut bertutur dalam dialek Kelantan bukannya dialek Terengganu.


Lagi pula, orang Besut lebih rapat dengan Kelantan berbanding negeri sendiri iaitu Terengganu, jadi tidak pelik jika anda melihat orang Besut menyokong Kelantan dalam perlawanan bola sepak dan sebagainya. Selain itu, ada juga orang Besut yang lebih suka memakai kenderaan bernombor plat Kelantan berbanding nombor plat Terengganu.

 Menurut mitos sejarah ini, Raja Terengganu dan Raja Kelantan telah mengadakan perlawanan sabung ayam  dan pertaruhannya ialah daerah Besut ( dulu turut merangkumi daerah Setiu ). Akhirnya Raja Kelantan tewas dalam pertaruhan tersebut dan daerah Besut telah diserahkan kepada Terengganu. Mungkin berdasarkan mitos sejarah inilah, wujud nilai sentimental dalam kalangan orang Besut terhadap Kelantan. Walaubagaimanapun, disisi sejarah yang benar, tidak wujud pertaruhan sedemikian. Ini kerana, Besut telah diserapkan ke dalam Negeri Terengganu selepas kematian Raja Besut yang terakhir pada tahun 1899. Selepas, kemangkatan Tengku Ngah Bin Tengku Hitam, Besut telah diserapkan secara rasmi sebagai sebuah daerah dalam negeri Terengganu. Tengku Long Bin Tengku Ngah kemudiannya hanya diangkat oleh Terengganu sebagai Pesuruhjaya yang mewakili Terengganu sahaja.
 Walaupun mempunyai Raja atau pentadbirnya yang tersendiri namun Terengganu hakikatnya menganggap Besut sebagai wilayahnya tambahan pula, raja-raja Besut itu ialah kerabat mereka bahkan raja pertama Besut iaitu Tengku Abdul Kadir ialah anak kepada Sultan Mansur Syah I Terengganu ( 1726M-1793M ).

Walaupun mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Kesultanan Terengganu namun semasa pemerintahan Tengku Ali Bin Tengku Abdul Kadir, baginda telah bertindak melawan campur tangan Terengganu ke atas pentadbiran Besut sehingga menyebabkan berlakunya Perang Besut.

 Sultan Omar ( 1839-1876 ), telah menghantar surat kepada Kelantan, Singora dan Siam supaya tidak membantu Besut dalam perang ini. Sultan Omar telah menghantar mufti Terengganu Haji Wan Abdullah Bin Muhammad Amin untuk memberi jaminan bhawa Terengganu tidak akan mengubah sempadan Kelantan-Terengganu  dan Kelantan membalas surat tersebut dengan mengatakan bahawa Kelantan tidak mahu terlibat perang dengan Terengganu lagi buat masa ini.

Selepas mendapat jaminan daripada Kelantan, maka Sultan Omar telah menyediakan 8000 pahlawan Terengganu untuk menyerang Besut. Dengan kekuatan yang agak besar itu, dengan senang sahaja Besut berjaya ditewaskan.

 Berbalik kepada kisah ayam laga Bugis - Terengganu. Peristiwa ini dikatakan berlaku semasa pemerintahan Sultan Mansur Syah I ( 1733-1794 ) atau Marhum Janggut iaitu Raja Terengganu yang kedua. Baginda berada cukup lama di Johor dan faham benar mengenai kelicikan orang Bugis dalam menguasai politik di Kesultanan Johor.

 Walaupun isteri pertama baginda merupakan orang Bugis iaitu RaJA Bulang Bin Daeng Chelak namun baginda memang terkenal sebagai seorang yang cukup anti dengan orang Bugis. Ditambah pula apabila baginda berkahwin dengan Raja Bakul iaitu puteri kepada Sultan Sulaiman Badrol Alam Syah yakni pemerintah Johor dari wangsa Bendahara.

 Disini, baginda dapat melihat secara dekat tekanan-tekanan yang dihadapi oleh mentua untuk memenuhi nafsu orang Bugis dalam pentadbiran Johor. Bahkan orang Bugis turut dilantik sebagai Sultan Muda yang bermaksud satu jawatan yang berada dibawah sedikit sahaja daripada Sultan yang sebenar.

  Semasa di Riau , baginda sering mengganggu pentadbiran Sultan Muda Daeng Kemboja sehinggakan Daeng Kemboja terpaksa berpindah ke Linggi. Daeng Kemboja telah  menyerahkan wilayah Riau ada waktu itu untuk dijaga oleh Raja Haji bin Daeng Chelak.  Sultan Mansur I semasa di Johor juga turut merancang untuk menyerang Linggi bagi mengusir Daeng Chelak dan menghalau Raja Haji iaitu iparnya sendiri dari Riau dengan bantuan musuh Bugis iaitu Siak dan Belanda.

 Namun tindakan ini ditentang Sultan Sulaiman Barul Alam Syah. Sejak itu, Sultan Mansur I merasa sangat kecewa dan telah pulang ke Terengganu dan tidak mengcampuri urusan pentadbiran Johor lagi. Sultan Mansur Syah I Terengganu telah menghabiskan masa selama 14 tahun untuk mengembalikan kuasa orang Melayu dalam pentadbiran Johor.

 Dalam peristiwa laga ayam Terengganu-Bugis pada tahun 1762 itu, dikatakan daerah Besut yang hampir separuh keluasan Terengganu itu telah dijadikan taruhan. Ditakdirkan ayam Sultan Terengganu telah tewas dan Besut telah terlepas daripada genggaman Sultan Terengganu. Daerah  Besut terpaksa diserahkan kepada Bugis. Ini menyebabkan Sultan Mansor I merasa sangat dukacita. Berita ini segera sampai kepada pengetahuan putera Kerajaan Reman iaitu Long Ghafar dan Long Yunus di Kelantan.

 Mereka turut merasa dukacita atas kekalahan Terengganu itu dan merasakan perlu untuk melakukan sesuatu. Pada waktu itu, Kelantan merupakan negeri naungan Terengganu tambahan pula, Long Yunus merupakan menantu kepada Ku Tana Wangsa iaitu abang kepada Sultan Mansur Syah I.

 Long Ghaffar dan Long Yunus telah bertolak ke rumah Tok Mandur Hamid di  Padang Garung untuk mendapatkan nasihat dan pakar ayam laga. Bersama mereka ialah 9 orang hulubalang dan ayam laga yang bernama Bakas Racun. Mereka semua bertolak ke Terengganu untuk menuntut malu yang dihadapi oleh Sultan Terengganu. Apabila tiba di Kuala Terengganu, Long Ghaffar telah meminta Bendahara Terengganu untuk menganjurkan sekali lagi pertandingan laga ayam dengan Bugis dan pertaruhan kali ini ialah separuh lagi wilayah Terengganu. Manakala jika Bugis tewas, maka 7 jong Bugis dan muatannya berserta separuh Negeri Terengganu yang tergadai itu akan diserahkan kembali kepada Terengganu. Sudah tentu taruhan tersebut dibuat tanpa pengetahuan Sultan Terengganu. 

 Pada hari kejadian maka berlagalah Bakas Beracun dengan ayam Bugis yang bernama Kuning Beremas dan dengan takdir Allah, Bakas Beracun berjaya mengalahkan ayam Bugis tersebut.   Kekalahan ayam Bugis itu, telah mendapat sorakan yang cukup gemurah daripada orang Terengganu kerana mereka tahu bahawa Bugis akan segera keluar dari Terengganu dan Besut akan diperolehi kembali. Sultan Mansur Syah I merasa sangat gembira dengan kemenangan ini dan baginda menjadi begitu kasih dengan Long Ghafar dan Long Yunus.

Catat Ulasan

0 Ulasan