Tarrare : Al Kisah Sang Pelahap Perancis

Semasa zaman Revolusi Perancis, sekumpulan doktor bedah tentera telah menemui seorang pesakit tentera aneh. Berdasarkan catatan di situ, tentera tersebut diceritakan cepat penat dan selalu kelaparan. Bahkan, catuan makanan tentera yang diberikan padanya adalah empat kali ganda lebih banyak daripada biasa, tapi dia masih tetap lapar. Melihatkan keadaan pesakit yang sangat pelik, tentera tersebut telah ditahan di hospital untuk ujikaji lebih lanjut.
Nama tentera tersebut ialah Tarrare.
Berdasarkan catatan sejarah, Tarrare lahir di Lyon, Perancis pada tahun 1772. Kelakuan pemakanan aneh Tarrae mampu dilihat sejak dia masih remaja, di mana Tarrare mampu memakan daging lembu seberat dirinya sendiri. Katakanlah beratnya ialah 50 kg, maka seberat itulah daging lembu yang mampu dimakannya. Namun, perkara ini jugalah yang memberi masalah kepadanya. Dia ditendang keluar oleh keluarganya kerana tak mampu nak diberi makan.
Sejak daripada itu, Tarrare mula hidup sebagai penghibur jalanan. Kerjaya penghiburnya ternyata memberi tuah kepadanya di mana ramai orang terhibur dengan aksi Tarrare. Antara aksi yang dilakukannya adalah seperti menelan gabus, batu, haiwan hidup dan sebakul buah epal. Namun, aksi ini juga memberi risiko kepadanya di mana Tarrare pernah jatuh sakit akibat masalah usus.
Ya lah, kalau dah bermacam benda masuk dalam perut, mesti lah akan ada masalah. Setelah dirawat dengan julap kuat, Tarrae terhutang budi dengan doktor bedahnya dan cuba menunjukkan bakatnya dengan menelan jam milik doktor tersebut, tapi ditolak. Bahkan, doktor itu juga menyebut kalau Tarrare menelan jam tersebut, dia akan membedah keluar jam tersebut dari perut Tarrare.
Selepas menyertai tentera Revolusi Perancis dan ditahan doktor bedah tentera, Tarrare telah diujikaji oleh Dr. Courville, George Didier dan Dr. Baron Percy untuk memahami keanehan Tarrare. Tarrare telah diberi makanan dengan banyak di mana dia melahap dengan jayanya. Makanan tersebut sebenarnya boleh kenyangkan seramai 15 orang…dan Tarrare makan macam tu sahaja sampai habis.

Kemudian, Tarrare diuji dengan diberi makan haiwan hidup. Dikatakan semasa Tarrare diberi kucing, dia telah mengoyakkan abdomen kucing, meminum darahnya dan memakan seluruh tubuh kucing berkenaan. Hanya tulang sahaja yang tak dimakan. Itupun dia muntahkan bulu dan kulit kucing keluar.
Dalam kes lain, dia telah menelan seekor belut dimana kepalanya digigit pecah dan seluruh badannya ditelan tanpa dikunyah. Haiwan lain yang diberi ialah ular, cicak dan anak anjing. Tarrare disebutkan sangat menyukai daging ular.
Sebelum makan, perutnya akan menjadi seperti kain lebihan di mana ia boleh dilipat=lipat. Selepas makan, perutnya akan mengembang seperti belon. Hal yang sama juga berlaku pada kulit pipinya. Ia boleh diregangkan sampai boleh muat 12 biji telur di dalam mulutnya. Juga, badannya dikatakan sangat berbau selepas memakan dan mempunyai penyakit cirit birit kronik. Walau bagaimanapun, berat badannya seperti tak berubah sekalipun sifatnya yang kuat makan.
Disebabkan kebolehan Tarrare, pihak tentera telah menggunakan Tarrare sebagai penyampai surat dalam kalangan tentera. Tarrare akan diberi dokumen untuk ditelan, bergerak ke kawasan musuh dan selepas berak, dokumen tersebut akan dikutip dan diberi kepada penerima. Semasa Tarrare dipanggil untuk menguji kebolehannya, Tarrare menelan dokumen tersebut di hadapan komander tentera dengan jayanya. Sebagai hadiah, Tarrare telah diberikan 14 kg paru paru dan hati kerbau untuk dimakan.
Walau bagaimanapun, kerjaya baru Tarrare ini ternyata berjangka hayat pendek. Tarrare telah ditahan oleh tentera Prussia kerana tak mampu berbahasa Jerman, diseksa dan akhirnya dihantar pulang ke Perancis. Bermula daripada hal ini, Tarrare menjadi terdesak untuk merawat penyakitnya. Dia telah diberikan ubat seperti dadah, cuka arak, pil tembakau dan telur setengah masak tapi masih tak elok.

Tarrare cuba dirawat dengan diet terkawal tapi tak menjadi kerana dia akan keluar dari hospital untuk memakan organ haiwan di kedai daging, bergaduh dengan anjing liar demi bangkai dan mencari makanan di kawasan sampah.
Dia juga telah ditangkap berkali kali oleh pihak hospital kerana meminum darah pesakit dan cuba memakan mayat di bilik mayat. Setelah kes seorang bayi hilang di hospital yang sama, Tarrare telah dihalau keluar kerana disyaki memakan bayi berkenaan.
Empat tahun selepas itu, Tarrare akhirnya meninggal kerana tuberkolosis dan cirit birit teruk. Rata rata doktor bedah di hospital tak mahu membedah mayatnya kerana busuk. Akan tetapi, ada juga doktor yang yang ingin mencari garfu emas di dalam perut Tarrare kerana sebelum dia mati.
Tarrare menyebut dia telah menelan garfu berkenaan. Hasil autopsi menunjukkan saluran pemakanannya dipenuhi dengan nanah dan ulser, serta hati dan hempedunya adalah lebih besar daripada biasa. Malangnya, garfu tu tetap tak dijumpai.
RUJUKAN:
Bondeson, Jan (2006), Freaks: The Pig-Faced Lady of Manchester Square & Other Medical Marvels, Stroud: Tempus Publishing, ISBN 0-7524-3662-7
Bondeson, Jan (October 2001), "The Cat Eaters", Fortean Times, London: Dennis Publishing (151), archived from the original on 2009-05-21
Gould, George M.; Pyle, Walter L. (1896), Anomalies and Curiosities of Medicine.
T. Bradley, Samuel Fothergill & William Hutchinson, ed. (1819), "Polyphagism", London Medical and Physical Journal, London: J. Souter, 42: 204.
Artikel diambil daripada website > thepatriots.asia · September 24, 2019

Catat Ulasan

0 Ulasan