Ramadhan Dalam Era Turki Uthmaniyyah


Bulan Ramadhan adalah bulan yang mulia dalam Islam. Ia penuh dengan keistimewaan dan ganjaran yang besar. Malah, ia satu-satunya bulan dalam Islam yang difardhukan dengan ibadah puasa berbanding 11 bulan yang lain.
Justeru, setiap dari komuniti Islam mempunyai cara yang tersendiri dalam menyambut bulan mulia ini. Tidak terkecuali juga tradisi menyambut dan memeriahkan Ramadhan dalam masyarakat Turki Uthmaniyyah yang berpusat di Istanbul.
Menghiasi menara dan masjid dengan lampu
Majoriti bandar yang wujud seperti Kaherah dan juga Istanbul, kebanyakan sekolah-sekolah dan kedai-kedai ditutup. Masjid-masjid pula akan dihiasi dan dipasang dengan lampu-lampu yang terang. Lampu ini digantung pada tali-tali panjang yang bersilang dan diikat rapi pada menara-menara masjid yang ada. Tali-tali ini tidak kekal pada posisinya. Kadangkala dinaikkan, kadangkala diturunkan sedikit.
Ini menghasilkan cahaya-cahaya yang berkilau, menjadikan tarikan pemandangan yang memukau pada waktu malam. Tradisi ini dinamakan sebagai iluminasi Mahya. Dalam sebuah catatan pengunjung Eropah, beliau yang telah menyaksikan kilauan cahaya yang menakjubkan ini berkata “Tiada bandar-bandar di Eropah yang dapat menyaingi cantiknya pencahayaan di kota Istanbul.”
Berbuka puasa (iftar)
Sebagai salah satu dari 3 empayar Islam teragung di dunia pada ketika itu (selain Dinasti Safavid di Iran dan kerajaan Mughal di India), masyarakat Istanbul dimaklumkan waktu untuk berbuka puasa melalui tembakan meriam.
Di kala terbenamnya matahari menandakan waktu Maghrib, azan dilaungkan diikuti dengan tembakan beberapa das meriam, memberi isyarat kepada penduduk bahawa sudah boleh berbuka puasa.
Menjadi kebiasaan bagi golongan kaya dan bangsawan, mereka menjamah pembuka selera makanan terlebih dahulu iaitu air beserta kurma, kepingan roti bersama yogurt dan minuman limau nipis.
Ada juga sebahagian dari mereka yang menghirup secawan kopi atau sherbet dan menyalakan rokok paip. Kemudian, mereka melaksanakan solat Maghrib berjemaah di rumah sebelum meneruskan dengan menjamah menu utama iftar bersama keluarga.
Bagi penduduk biasa pula, mereka kebiasaanya terus menjamah makanan utama ketika berbuka puasa. Ini disebabkan makanan pembuka selera agak mahal untuk diperolehi dan juga ia bukanlah satu keperluan.
Selain itu, mereka juga telah berhempas pulas bekerja berat di siang hari, maka mereka sangat lapar dan saat berbuka puasa ini adalah masa untuk mereka mendapatkan kembali tenaga. Selesai menikmati makanan, mereka melaksanakan solat Maghrib.
Tetapi, kebanyakan penduduk pada bulan ini, membuka seluas-luasnya pintu mereka, mengalu-alukan kedatangan tetamu ke rumah. Hal ini kerana mereka menganggap tetamu yang berkunjung ialah tetamu Allah. Dalam masa yang sama, mereka dapat bersedekah dan berkongsi makanan dengan orang lain sebagai amal.
Malam Ramadhan Yang Hidup
Hidangan makanan dalam sajian utama bergantung kepada pilihan yang digemari. Sepertimana yang dinyatakan dalam dokumen sejarah, makanan yang menjadi pilihan mereka seperti sup, hirisan keju, telur, ikan, nasi (terutamanya pillaf) dan juga makanan yang berasaskan tepung seperti pai.
Sesudah makan, mereka bertandang mandi di pusat mandian awam (hammam) dan pergi memenuhi masjid. Sebahagian dari mereka, ada yang duduk di rumah dan sebahagian lagi keluar berhibur mendengar cerita-cerita yang disampaikan penglipurlara dan puisi-puisi yang dideklamasi oleh para penyair.
Ada juga yang bertandang di kawasan tumpuan ramai seperti bersiar-siar di taman, menghisap shisha dan menikmati secawan kopi di kedai-kedai kopi dan juga pasar. Antara yang menjadi tarikan ialah persembahan Karagöz iaitu persembahan anak patung dan wayang kulit. Ia menjadi tradisi masyarakat Uthmaniyyah dan pernah disaksikan oleh Sultan sendiri seperti Sultan Ahmed III.
Dan sekali lagi, kebanyakannya adalah aktiviti golongan berada dan bangsawan. Untuk orang-orang biasa dan miskin, mereka selalunya akan makan dengan kerap pada waktu malam dan tidur selama yang boleh. Hal ini untuk mereka dapat bekerja pada keesokan hari dengan tenaga yang cukup.
Ada juga yang menghabiskan malamnya di masjid, mengaminkan doa-doa yang dibaca sang imam. Ada yang terlibat dengan majlis zikir oleh kumpulan Sufi dan mereka melantunkan dan menghayati alunan zikir beramai-ramai.
Waktu sahur
Tibanya waktu sahur, tembakan meriam akan sekali lagi bergema untuk mengingatkan masa yang berbaki untuk sahur. Dalam sebahagian wilayah atau kampung yang terpencil, dentuman meriam digantikan dengan pukulan gendang.
Makanan biasanya dijamah sejam sebelum waktu Subuh dan biasanya makanan itu adalah baki makanan yang dijamah sewaktu iftar sebelumnya. Selesai menikmati sahur, mereka akan bersegera mengambil wudhuk dan berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kemudian, mereka mengerjakan solat Subuh dan tidur.
Membayar zakat fitrah
Zakat fitrah akan dikutip sepanjang dalam bulan Ramadhan. Ia akan diagihkan kepada golongan-golongan fakir dan miskin oleh badan-badan kerajaan pada malam terakhir atau dua malam terakhir Ramadhan. Setiap ketua keluarga perlu untuk membayar zakat bagi pihak yang ditanggungnya. Kadar yang ditetapkan ialah 2 kilogram bijirin atau gandum setiap seorang.
Sifat pemurah dan dermawan penguasa Uthmaniyyah
Setiap kali tiba bulan Ramadhan, menjadi kebiasaan Sultan Uthmaniyyah dan juga para pembesarnya akan membeli haiwan-haiwan ternakan untuk disembelih. Daging sembelihan itu akan diberi dan disedekah dalam kalangan orang miskin dan tidak berkemampuan.
Selain itu, para pembesar Uthmaniyyah juga membuka pintu-pintu rumah mereka untuk didatangi oleh penduduk setempat dan orang ramai. Orang yang datang dihidang dan disaji dengan minuman jus buah-buahan dan kekacang (badam & pistachio). Mereka duduk beramai-ramai dan mendengar alunan ayat suci Al-Quran yang dibaca oleh para qurra’.
Misalnya, Melek Ahmed Pasha (Pemerintah Tertinggi Uthmaniyyah 1650 – 1651) sepertimana yang dinukilkan Evliya Çelebi dalam buku “Book of Travels” , pada awal bulan Ramadhan, beliau mengagihkan barang-barang berharga seperti senjata, baju-baju besi, pakaian mewah, pasu dan tembikar, pedang-pedang, untaian biji tasbih, musket (senapang) yang kesemuanya dikeluarkan dari hartanya untuk dihadiahkan kepada pegawai (aga) ataupun hamba-hamba.
Mengunjungi bekas peninggalan Nabi Muhammad SAW
Sultan Uthmaniyyah juga terlibat dalam banyak tradisi lain dalam bulan Ramadhan. Misalnya, setiap hari ke-15 bulan itu, Sultan dan pembesar lain secara sulit akan mengunjungi barang-barang peninggalan Rasulullah SAW (mengambil berkat) seperti persalinan baginda, bendera perang, beberapa helai janggut, gigi dan juga tapak kaki baginda yang terlekap di kepingan batu yang disimpan dengan rapi dan penuh penghormatan.
Dan sebahagian tradisi-tradisi diatas kekal hidup sehingga zaman kini. Betapa Ramadhan membawa rahmat dan menyemai rasa keagungan kepada Tuhan dalam umat manusia.
RUJUKAN:
Daily Life in the Ottoman Empire by Mehrdad Kia
Ramadan In Ottoman Times – After Iftar Entertainment, Music & Light Illuminations. https://www.dimasharif.com/ramadan-in-ottoman-times/
Artikel dikirimkan oleh Ed Shaimi untuk The Patriots.

Catat Ulasan

0 Ulasan