Kubu Pertahanan Bawah Tanah Rom Purba

Sebanyak 20 rangka tentera ditemui mati dalam keadaan misteri di bawah tanah kubu pertahanan Rom purba di Dura-Europos (Syria timur moden). Penemuan ini bermula dengan penggalian arkeologi pada tahun 1920-an dan 1930-an.


Kemudian penggalian berikutnya pada tahun 1986 telah membantu penyelidik untuk mengkaji punca kematian mereka.

Pada tahun 2009, Dr. Simon James yang merupakan ahli arkeologi dari Universiti Leicester, United Kingdom membuat kesimpulan mengejutkan setelah mengkaji semua rangka tersebut dan mengaitkannya dengan serangan gas racun purba sekitar tahun 256 M.

Hampir 2,000 tahun yang lalu, 19 orang tentera Rom bergegas masuk ke dalam terowong bawah tanah yang sempit dan bersedia untuk mempertahankan kota Dura-Europos dari pasukan tentera Parsi yang menggali untuk merosakkan tembok kota.

Namun bukan tentera Parsi yang ditemui, tetapi 'dinding' asap hitam berbahaya yang berubah menjadi asid di paru-paru mereka. Asap itu membuatkan tentera Rom sesak nafas dan mati serta-merta…

Pada sekitar tahun 250-an, Empayar Sassanid Parsi ingin merampas kota Dura yang terletak di Sungai Eufrat dari Empayar Rom. Ketika itu, kota tersebut adalah pangkalan tentera Rom yang dilindungi dengan tembok.

Tentera Parsi mula menggali terowong sejauh 130 kaki (40 meter) untuk melepasi bawah tembok itu agar mereka dapat masuk ke kota. Sementara itu, tentera Rom juga menggali dari dalam kota dengan harapan dapat menghalang tentera Parsi.

Terowong tentera Rom lebih cetek daripada terowong tentera Parsi, oleh itu tentera Rom merancang untuk menyerang tentera Parsi dari atas. Walau bagaimanapun, tiada unsur kejutan di kedua-dua belah pihak kerana tentera Parsi juga dapat mendengar tentera Rom datang.

Kemudian tentera Parsi memasang perangkap. Apabila tentera Rom tiba, mereka menyalakan api dan mencampak belerang (sulfur) dan bitumen (tar) ke dalam api tersebut.

Asapnya menuju ke arah tentera Rom disebabkan kesan corong asap semulajadi yang terhasil dari penggalian terowong di antara kedua-dua pihak.

Tentera Rom yang bertembung dengan asap itu menjadi sesak nafas kerana asap itu berubah menjadi asid sulfurik dalam paru-paru mereka.

Selain 19 orang tentera Rom, terdapat juga seorang tentera Parsi yang ditemui mati disebabkan asap itu kerana dia ditugaskan menyalakan api untuk menghasilkan senjata kimia tersebut.

Menurut James, jika orang Parsi menggunakan senjata kimia pada zaman ini, ia menunjukkan bahawa operasi tentera mereka sangat canggih.



___________________________
Shahrin Debu
Belalang Post - Federasi Sejarah
_____________________________

revolusimelayubaru.blogspot.com · by on March 09, 2020

Catat Ulasan

0 Ulasan