ALOR
SETAR: Kitab Ilmu Bedil yang masih dalam bentuk manuskrip, dapat menafikan
pandangan stereotaip Kesultanan Melayu Melaka jatuh pada 1511 kerana
bersenjatakan keris saja.
Justeru,
fakta sejarah perlu diperkemaskan untuk membentuk jati diri bangsa yang kukuh,
termasuk mengemukakannya kepada pihak berwajib untuk memperbetulkan fakta
berkenaan.
Dekan
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM),
Prof Dr Abdul Mua'ti @ Zamri Ahmad, berkata ia menjadi agenda penting pihaknya
untuk menyebarluaskan kehebatan warisan bangsa kepada generasi muda berbanding
Barat.
"Saya
kecewa apabila ada pemimpin menyebut Kesultanan Melayu Melaka jatuh kerana
hanya menggunakan tanah dan keris untuk melawan Portugis yang menggunakan
senjata api dan meriam.
"Tanggapan
itu salah kerana tentera Sultan Mahmud Shah sudah bersenjata api, malah ada
ciptaan kita jauh lebih baik daripada Portugis dan setanding Jerman.
"Ini
bukan kenyataan saya, tetapi dipetik daripada catatan penulis dari Barat
seperti dalam buku Asia Portugueza karya Manual de Faria Y Souza.
"Beliau
menyebut senjata api buatan Melaka setanding Jerman, manakala semua meriam
dihasilkan dengan amat baik dan tidak dapat ditandingi walaupun meriam buatan
Portugis," katanya pada Pameran Manuskrip Melayu Warisan Dunia dan Wacana
Bedil: Tradisi dan Kini di sini.
Abdul
Mua'ti selaku pengkaji manuskrip Kitab Ilmu Bedil, adalah antara panel jemputan
pada wacana terbabit bersama Pengerusi Banyan Antiques House Sdn Bhd, Dr Zikri
Abd Ghani.
Abdul
Mua'ti berkata, penulisan terkandung dalam kitab itu membuktikan orang Melayu
sudah arif mengenai ilmu bedil atau menembak yang turut menceritakan cara
pembuatan senjata.
Beliau
berkata, dalam manuskrip itu juga tertulis cara membidik secara manual yang
diceritakan satu persatu. Antara senjata api yang orang Melayu hasilkan ialah
Malacca Musket (istingar) dan Malay Matchlock.
"Selepas
kejatuhan Melaka, kita tidak lagi menghasilkan senjata dan cuma memasangnya di
sini.
"Jadi
adalah salah pahlawan Melayu dulu digambarkan hanya membawa keris sedangkan
sejarah membuktikan senjata utama adalah senjata api.
"Seperti
tentera sekarang membawa lebih lima senjata, begitu juga hulubalang dulu kerana
mereka membawa senjata api bersama keris dan beberapa lagi senjata
rahsia," katanya.
Abdul
Mua'ti memetik Pegawai British di Melaka, Thomas John Newbold dalam tulisannya,
Political and Statistical Account of The British Settlements In The Straits Of
Malacca, 'Tidaklah menghairankan andai dapat melihat pendekar Melayu lengkap
bertanjak dan berbusana Melayu bersama keris dan senjata api seperti
istinggar.'
"Ungkapan
Edward Monckton pada 1722 juga menyebut Sultan Melayu termasuk Sultan Kedah
memiliki senjata api yang mampu menghalau semua orang Eropah dari India
sekiranya mereka tahu menggunakannya," katanya.
Beliau
berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan rasmi dengan kementerian berkaitan
untuk memperkemaskan fakta sejarah terbabit.
"Kita
sudah menyebarkan maklumat tidak betul dan perlu ada komunikasi warisan untuk
memberitahu generasi muda bahawa nenek moyang kita dahulu hebat.
"Kita
ada kitab Ilmu Bedil yang semuanya lengkap, sekali gus perlu mengemukakannya
kepada pihak berwajib untuk memperkemas fakta sejarah. Ini tidaklah bermakna
semua fakta tidak betul, sebaliknya ada tempat tertentu perlu
diperkemaskan," katanya.
Sumber : Whatsapp Groups
0 Ulasan