Kelab Bolasepak dan Hubungannya dengan Kongsi Gelap Melayu (1920an)


Akibat sekatan daripada pihak kerajaan Inggeris melalui Societies Ordinance 1889, yang hanya membenarkan kelab-kelab rekreasi, kebajikan, agama dan sastera sahaja bergerak secara sah di sisi undang-undang. Kumpulan Bendera Putih dan Kumpulan Bendera Merah mengambil peluang menyembunyikan kegiatan (kongsi gelap) mereka melalui penubuhan kelab bolasepak.

Kumpulan Bendera Putih dipimpin ketika itu dipimpin oleh Syed Alwi al Mashor hingga 1934. Dia telah bertelagah dengan orang kanannya iaitu Chain Mohd Salleh atau (Pak Chain) dan Mohammad Isa b. Idris (Pak Cha) kerana masalah kewangan.

Akibat isu itu Pak Cha menubuhkan Kelab Bolasepak Darul Makmur pada tahun 1920. Manakala Pak Chain pula menubuhkan Kelab Bolasepak Muslim Jelutong pada 1926.

Kedua-dua kelab ini sering bergaduh walaupun berasal dari bendera yang sama. Pada tahun 1921 Kelab Bolasepak Darul Aishan pula ditubuhkan dibawah naungan Bendera Merah.

Antara ketiga tiga kelab tersebut, kelab bolasepak yang ditunjangi oleh Pak Cha daripada Bendera Putih yang paling berjaya, iaitu Kelab Bolasepak Darul Makmur. Mereka membentuk tabung kebajikan untuk ahlinya dengan bayaran $3.60 dan turut memperkenalkan lencana. Kempen mencari ahli kelab juga hingga keluar dari Pulau Pinang. Kelab ini berkembang ke Kedah, Perlis, Perak dan Selangor.

Kelab ini juga dapat menarik minat ramai polis Melayu dari Pulau Pinang, Seberang Perai dan Kedah. Selain itu Kelab Bolasepak Darul Makmur turut mendapat ramai ahli di Perak terutamanya di Telok Anson, Bagan Datoh dan Manong.

Secara amnya Kelab ini mempunyai 1300 orang ahli dan pendapatan tahunannya mencecah $7000.00-$8000.00 setahun (1927).

Pada 7 Disember 1927, berlaku pergaduhan antara Panglima Meh (Ismail Yaakob) dari Kelab Bolasepak Darul Makmur dan Pak Chain dari Kelab Bolasepak Muslim Jelutong, kerana perebutan ahli di Bukit Mertajam. Menurut Laporan pihak Polis, jika mereka terlambat tiba, satu rusuhan besar-besaran akan berlaku.

Namun, kecenderungan, kelab-kelab bolasepak ini kepada kegiatan jenayah menyebabkannya tidak dapat bertahan lama. Kelab Bolasepak Darul Makmur dibubarkan apabila pihak polis mula memburu Pak Cha. Tetapi Pak Cha dapat melarikan diri ke Singapura dan meninggal di sana pada tahun 1937.

 Manakala Kelab Bolasepak Muslim Jelutong pula dibubarkan pada tahun 1936. Berlainan pula dengan Kelab Bolasepak Darul Aishan, dari Kumpulan Bendera Merah, Kelab ini tidak dibubarkan, kerana semasa serbuan pihak polis, tiada dokumen yang berkaitan Kongsi Gelap yang dijumpai.

Sumber: Mahani Musa, Kongsi Gelap Melayu di Negeri-Negeri Utara, Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu 1821-1940an MBRAS 2003.
                   

Catat Ulasan

0 Ulasan