Seluruh dunia kini sedang gempar dengan jangkitan wabak coronavirus yang mula tersebar dari sebuah pasar basah di Wuhan, China. Setakat ini, sebanyak 17 kematian telah dicatatkan dengan lebih 500 pesakit dijangkiti di China. Punca penyebaran virus ini dikatakan berpunca dari jualan haiwan eksotik di pasar tersebut.
Untuk pengetahuan anda, sebelum ini beberapa wabak penyakit bahaya pernah berlaku dalam sejarah dunia sehingga mengakibatkan jumlah kematian yang tinggi. Salah satu punca kematian yang tinggi adalah disebabkan ketiadaan vaksin pada zaman dahulu.
Tetapi walaupun kini teknologi sudah berkembang maju, tidak mustahil penyebaran wabak besar-besaran berlaku dengan kemunculan golongan anti vaksin di seluruh dunia. Tetapi tidak dinafikan, itu bukanlah satu-satunya punca penyebaran wabak kerana ada juga faktor lain yang mendorong.
Wabak Justinian
Wabak yang tercetus selama setahun pada tahun 541 ini telah mengorbankan hampir separuh populasi penduduk di Eropah. Sebanyak 25 juta kematian direkodkan namun jumlah kematian sebenar dijangka melebihi 100 juta menjadikan ianya kes wabak nombor satu paling teruk dalam sejarah.
Wabak Justinian dinamakan sempena nama Raja Justinian I yang memerintah Empayar Roman Timur ketika itu. Wabak ini tersebar melalui bakteria yang dibawa oleh tikus yang dibawa di dalam kapal dan troli yang membawa bijirin dari Afrika Selatan.
Pada abad ke-8, sumber utama bijirin adalah dari Afrika Selatan sahaja. Bekalan bijirin yang disimpan di gudang kemudian menjadi lokasi ‘penternakan’ tikus yang dipercayai membawa bakteria ‘Yersinia pestis‘.
Kekurangan dari segi rawatan perubatan menjadi punca utama kematian yang tinggi. Mereka yang terselamat dianggap sangat bernasib baik dan mungkin kerana mempunyai sistem imunisasi badan yang kuat.
Wabak Black Death
Wabak disebabkan oleh bakteria ‘Yersinia pestis’ ini merupakan bakteria yang sama menyerang ketika Wabak Justinian. Jumlah kematian mencecah 200 juta nyawa dan menyebabkan tamadun ketika itu mengambil masa 200 tahun untuk mengembalikan populasi manusia ketika itu.
Pada tahun 1347, sebanyak 12 buah kapal telah berlabuh di Pelabuhan Sicilian di mana terdapat lambakan mayat dan anak kapal yang berada dalam keadaan nazak. Wabak ini dikatakan merebak melalui laluan laut dan menjangkiti anak kapal.
Seperti Wabak Justinian, wabak ini juga berpunca daripada bakteria pada tikus dimana pepijat yang tinggal pada badan mereka melekat pada haiwan ternakan dan manusia. Penyebaran yang pantas telah menyebabkan 60% penduduk Eropah meninggal dunia.
Manakala jumlah kematian di bandar-bandar besar Itali meningkat kepada 90%. Pekan-pekan besar yang dahulunya penuh dengan manusia ditinggalkan seperti pekan terbiar di mana mayat-mayat yang dijangkiti ditinggalkan.
Mayat-mayat mereka turut dibiarkan di beberapa lokasi lain kerana ramai yang bimbang akan dijangkiti sekiranya menyentuh mayat pesakit. Kalau anda nak tahu, wabak ini bukan hanya menyerang manusia tetapi haiwan juga turut sama terjebak.
Pandemik selsema 1918
Wabak disebabkan oleh virus H1N1 ini adalah pandemik yang paling teruk dalam sejarah. Dianggarkan lebih 500 juta manusia dijangkiti iaitu satu pertiga dari populasi rakyat di bumi pada waktu itu. Manakala jumlah yang terkorban dianggarkan seramai 50 juta orang dan 675,000 daripadanya di Amerika Syarikat.
Jumlah tentera Amerika Syarikat yang meninggal dunia akibat dijangkiti lebih tinggi dari jumlah tentera yang terkorban semasa Perang Dunia Pertama. Lebih memburukkan, negara itu turut mengalami kekurangan sumber tenaga doktor dan jururawat kerana bertugas di dalam peperangan itu.
Pada masa itu juga tiada vaksin atau ubat yang mampu merawat wabak ini dari terus menular menjadikan jumlah pesakit terus meningkat. Wabak ini yang juga dikenali sebagai Spanish Flu mula dikesan selepas tukang masak, Albert Gitchell yang bertugas di kem tentera Amerika Syarikat dilaporkan jatuh sakit.
Dalam masa beberapa hari sahaja, lebih 500 tentera di kem yang sama turut dijangkiti. Selang beberapa minggu, virus tersebut telah sampai ke New York yang disyaki dibawa oleh tentera dari kem yang sama. Kegagalan mengambil langkah pencegahan awal di kem tersebut turut dikritik pada waktu itu.
Pada tahun 2005, saintis melaporkan punca sebenar wabak ini adalah disebabkan virus dari burung yang kemudian tersebar kepada manusia. Keputusan diperolehi selepas saintis dari US Centers for Disease Control menggunakan sampel tisu dari dua askar dan seorang wanita Alaskan yang meninggal dunia akibat wabak ini pada tahun 1918.
Berdasarkan laporan, tidak mustahil untuk wabak yang pernah berlaku dahulu berulang kembali pada masa kini. Seperti mana wabak yang mendapat jangkitan bakteria yang dibawa oleh haiwan antara yang berpotensi untuk kembali semula.
By
Nur Jannah,
0 Ulasan