Navi: Senarai Para Utusan Tuhan Dari Sudut Kepercayaan Agama Yahudi

Di dalam setiap agama di atas dunia, pasti memiliki sosok suci yang diyakini membawa ajaran-ajaran tertentu. Sepertimana di dalam agama Islam, umatnya diwajibkan meyakini tentang kebenaran 25 orang para utusan Allah swt, yang mana ia sudah termaktub di dalam Rukun Iman (Tiang Keimanan) bagi seseorang Muslim.
Sepertimana agama Islam yang merupakan kelompok agama samawi (langit), agama Kristian dan agama Yahudi juga turut tergolong di dalam kelompok ini kerana pada asal-muasalnya, agama-agama ini berteraskan kepada penyembahan Allah swt. Di dalam agama Kristian, Allah swt dikenali sebagai Father dan di dalam agama Yahudi pula dikenali sebagai G-d. Selain G-d, penganut agama Yahudi juga memberi nama lain kepada Tuhan mereka, iaitu Yahweh (YHWH), Jenovah (JHWH), Elohim (Tuhan Kita), El Shiddai (Berkuasa) dan Tzevaot (Penguasa Segalanya).
Mengapa mereka menyatakan sebagai G-d dan bukannya God? Kerana bagi kepercayaan agama Yahudi, apabila mereka sudah menulis nama penuh GOD, diharamkan untuk mereka untuk memadam atau menghapuskan namanya. Sebab itulah, mereka hanya menulis perkataan G-d sahaja, tidak penuh. Tambahan pula, nama Tuhan mereka berada dalam status yang sangat tinggi dan mulia, sehinggakan mereka dilarang menulis namaNya dalam nama yang penuh.
Di dalam tajuk ringkas kali ini, kita akan melihat beberapa nama para utusan yang diutuskan oleh G-d mengikut sudut kepercayaan penganut beragama Yahudi melalui maklumat yang disampaikan oleh ahli tafsir kitab Talmud abad pertengahan, Shlomo Yitzchaki atau lebih dikenali sebagai Rashi.
NAVI (Niv Sefatayim).
Sebuah panggilan nama bagi para utusanNya. Perkataan Navi berasal daripada perkataan Hebrew, Niv Sefatayim yang membawa maksud ‘buah bibir’ ataupun ‘kemanisan di mulut’ yang mana asas utama sebagai seorang utusan adalah menyampaikan dakwah melalui lisan mereka dengan kata-kata yang lembut dan menarik minat para pendengarnya. Navi merupakan seseorang yang dilantik oleh G-d untuk menyampaikan wahyunya melalui perantaraan seorang Navi kepada umat manusia. Navi dilantik daripada kalangan manusia yang dipilih oleh G-d tidak kira dari kalangan lelaki mahupun wanita. Mereka dipandang sebagai manusia yang mulia di sisi G-d juga manusia.
Di dalam kitab Talmud (Tanakh) sendiri dinyatakan jumlah para Navi mencapai angka ribuan orang, iaitu jumlah dua kali ganda ramainya daripada jumlah bangsa Yahudi yang seramai 600,000 orang, ketika mengikut Prophet Moses (Nabi Musa a.s) keluar dari tanah Kemet (Mesir) dalam peristiwa Exodus. Tetapi sayang, daripada ribuan orang nama para Navi ini, hanya 55 orang nama Navi sahaja yang dicatatkan namanya secara jelas di dalam kitab Talmud.
Secara jelas, dinyatakan jumlah para Navi adalah seramai 55 orang iaitu 46 orang dari kalangan lelaki dan 7 orang pula dari kalangan perempuan.
Jadi, siapakah nama para Navi mengikut kepercayaan agama Yahudi ini?
Navi dari kalangan lelaki:
1. Abraham.
2. Isaac.
3. Jacob.
4. Moses.
5. Aaron.
6. Joshua.
7. Pinchas.
8. Elkanah.
9. Eli.
10. Samuel.
11. Gad.
12. Nosson.
13. King David.
14. King Solomon.
15. Aidoin the Golah.
16. Micha Ben Yamla.
17. Ovadiah.
18. Achiah Hashiloni.
19. Yehu Ben Hanani.
20. Azaryah Ben Oded.
21. Haziel Bnei Masni.
22. Eliezer.
23. Morishah.
24. Hoshea.
25. Amos.
26. Micha.
27. Elijah.
28. Elisha.
29. Yonah Ben Amitai.
30. Yeshayah.
31. Joel.
32. Nachum.
33. Habakuk.
34. Zephaniah.
35. Uriah.
36. Jeremiah.
37. Ezekiel.
38. Daniel.
39. Baruch.
40. Neriah.
41. Sharyah.
42. Machsiyah.
43. Hagai.
44. Zechariah.
45. Malachi.
46. Mordechai.
Navi dari kalangan perempuan:
47. Sarah.
48. Miriam.
49. Devorah.
50. Hannah.
51. Avigail (Abigail).
52. Huldah.
53. Eshter.
Dua orang Navi yang diyakini sebagai utusan Tuhan tetapi statusnya diragui adalah:
54. Oded.
55. Hanani Haroeh.
Daripada 55 orang para Navi ini, Moses diyakini sebagai Navi Utama bagi penganut agama Yahudi kerana baginda satu-satunya yang melihat keseluruhan isi kandungan Talmud (10 Perintah Tuhan). Navi terakhir dalam kepercayaan mereka adalah Zechariah (Nabi Zakaria a.s) yang mana setelah peristiwa pembunuhan ke atas baginda, ‘cahaya G-d’ meninggalkan bumi Jerusalem buat selama-lamanya.
Baik, setakat itu sahajalah maklumat yang mampu saya sampaikan dalam pengisian yang ringkas kali ini. Semoga dengan penambahan ilmu pengetahuan kepada kita, ia secara tidak langsung membuka mata kita untuk mengenali agama lain dari kacamata catatan lembaran sejarah.
RUJUKAN:
1. Jews, God and History oleh Max I.Dimont.
2. The A to Z of Prophets in Islam and Judaism oleh Scott B.Noegel dan Brannon M.Wheeker.
– TAMAT –

Catat Ulasan

0 Ulasan