MISTERI NAMA SYUAIB BIN SOLEH BAGI FATA AT-TAMIMI


Sabda Nabi SAW, “Akan keluar dari sulbi ini seorang pemuda yang akan memenuhi bumi ini dengan keadilan. Maka apabila kamu meyakini demikian itu, hendaklah kamu bersama Pemuda dari Bani Tamim itu. Sesungguhnya dia datang dari sebelah Timur dan Dialah pemegang Panji Panji Al Mahdi”

Sabda Nabi SAW, “Apabila As-Sufyani tiba di Kufah, dia lalu membunuh pengikut-pengikut keluarga Nabi Muhammad SAW, maka Al-Mahdi akan datang dan pembawa Panji-panjinya adalah Syuaib bin Saleh”. Ammar bin Yasir RA berkata, “Pembawa Panji-panji Al-Mahdi adalah Syuaib bin Soleh.”

Yang ramai menjadi persoalan orang mengenai sifat-sifat peribadi Putera Bani Tamim (Fata At Tamimi) adalah mengenai nama yang diberikan oleh Rasulullah kepadanya, iaitu SYUAIB BIN SOLEH. Kenapa Syuaib bin Soleh? apakah ianya nama sebenar ataukah sebuah codename? Berikut penjelasaan serba ringkasnya: Syuaib bin Soleh iaitu bukan nama sebenarnya tetapi merujuk kepada suku bangsanya (suku kecil dari suatu bangsa), merupakan seorang yang baik dan keluarganya juga adalah orang-orang yang berakhlak baik.

Persoalannya,kenapa nama Pemuda Bani Tamim itu bukannya Syuaib bin Soleh seperti yang dinyatakan oleh hadis Nabi SAW? Bukankah Syuaib bin Soleh itu adalah nama sebenar Pemuda Bani Tamim itu? Atau apakah hadis Nabi SAW itu palsu atau jika benar, kenapa tidak benar-benar namanya Syuaib bin Soleh? Sesungguhnya hadis ini adalah benar, bukan hadis palsu. Mustahil pula Nabi SAW berdusta, kerana setiap hadis daripada Nabi SAW adalah datang daripada Allah. Bagaimana pula Nabi SAW boleh berdusta? Nabi SAW adalah sodiqul masduq (seorang yang benar lagi dibenarkan).

Dari segi bahasa Arab, kalimah SYU’BUN, bererti suku bangsa atau puak dari suatu bangsa. Manakala kalimah SYU’AIBUN, pula bererti suatu suku kecil dari sebuah kabilah. Lagipun, Nabi SAW tidak pernah menyatakan bahawa Pemuda Bani Tamim itu, benar-benar bernama Syuaib bin Soleh. Kalimah BIN itu pula berasal dari IBNUN, ertinya anak lelaki. Atau lebih tepat lagi, seorang lelaki. Maknanya peribadi SYUAIB itu adalah:

1). Seorang lelaki (benar-benar seorang lelaki, bukan perempuan).

2). Yang memiliki sifat-sifat seorang lelaki (berjanggut, bermisai,berjambang dan berserban).

3). Seorang yang berwatak lelaki (berani, gigih, sabar, pejuang, berfikiran luas, sentiasa bergelumang dengan masyarakat dan jauh langkahnya).

4). Merupakan lelaki Allah (Rijalullah) yakni beliau adalah seorang yang bertaraf wali, ulama tulen, ulama mujahid, mujaddid dan mujtahid.

Jika diperhatikan benar-benar, penggunaan kalimah Bin itu merupakan suatu sebutan yang agak janggal dalam bahasa Arab. Agak jarang orang Arab disebut dengan Bin, yakni disekalikan namanya dengan sebutan Bin. Cuma orang Islam di Nusantara atau di TIMUR ini sahaja yang lazim berbuat demikian. Kalimah SOLEH pula bermaksud orang yang baik. Baik di sini membawa maksud seperti berikut:

1). Baik namanya, iaitu bukan nama yang bercampur-campur dengan istilah dari bahasa Sanskrit, nama tempatan atau dari bangsa yang bukan Islam.

2). Baik keperibadiannya iaitu dikenali sebagai seorang yang tetap teguh dengan pendiriannya.

3). Baik akidahnya iaitu seorang yang benar-benar mengikut akidah Islam yang sejati.

4). Baik keturunannya iaitu diketahui keturunannya adalah dari yang baik-baik, tidak tercemar dengan akhlak-akhlak yang rendah.

5). Baik agamanya, iaitu beliau dan keturunan sebelah atasnya adalah dari kalangan ahli-ahli agama atau orang yang cintakan agama.

6). Beliau memang seorang yang saleh. Saleh di sini ialah baik dan banyak amalan agamanya. Amalan agama itu sudah sebati dengan dirinya sejak dari beliau kecil lagi.

7). Baik pemikirannya iaitu seorang yang mempunyai idea yang baik untuk merubah masyarakatnya ke arah menghayati ajaran Islam sejati pada ketika mereka sedang hanyut bergelumang dengan arus jahiliyah.

8). Baik akhlaknya. Merupakan seorang yang terpuji akhlaknya di kalangan hamba Allah pada masa itu

Jika benar hadis-hadis berkenaan, kenapa namanya disebutkan sebagai Syuaib bin Soleh? Kenapa tidak disebutkan nama sebenarnya?


Jawapannya:

1). Untuk mengelirukan musuh-musuh Islam. Dengan ini, selamatlah beliau daripada diburu, dibunuh, dihalang atau diapa-apakan oleh musuh-musuh Islam yang sememangnya cuba menghalang kebangkitan Islam kali kedua ini dengan segala daya upaya mereka.

2). Supaya umat Islam berusaha mencari siapakah identiti sebenar Syuaib bin Soleh itu. Di sini, umat Islam yang percaya dengan hadis-hadis berkenaan akan berusaha mencari siapakah peribadi yang dikatakan sebagai Pemuda Suku Tamim itu. Setelah bertemu, mereka akan membaiatnya sebagai ketua mereka. Orang yang berusaha, akan diberikan pahala.

3). Untuk menguji keimanan umat Islam terhadap hadis-hadis Nabi SAW yang berkaitan dengan Pemuda Bani Tamim itu. Ada yang percaya dan ada yang tidak mudah percaya, apatah lagi ketika itu memang orang ramai sudah tidak percaya lagi dengan hadis-hadis mengenai Pemuda Bani Tamim.

4). Supaya yang empunya diri itu tidak mengetahui (pada peringkat awalnya)siapa sebenarnya Pemuda Bani Tamim itu sendiri. Beliau tidak menyedari bahawa beliaulah orang yang dimaksudkan oleh hadis-hadis berkenaan sebagai Syuaib bin Soleh. Beliau hanya menyedari tentang peribadi dirinya setelah jauh dan lama berjuang.

5). Untuk menipu pihak musuh Islam. Oleh kerana tiada huraian lanjut para ulama terhadap keperibadian Pemuda Suku Tamim ini, pihak musuh menyangka bahawa namanya memang benar-benar Syuaib bin Soleh seperti yang tersebut di dalam hadis. Kerana itu, mereka sedaya upaya mencari nama berkenaan, bukan peribadi berkenaan.

Berdasarkan huraian yang diberi, jelaslah sebab-sebab sebenar Nabi SAW tidak menyebutkan nama sebenar Pemuda Bani Tamim itu. Adalah diharapkan dengan penjelasan ini, umat Islam tidak akan mempersoalkan lagi mengenai nama sebenar Syuaib bin Soleh itu. Panji-panji hitam yang dimaksudkan itu adalah kekuasaan yang diserahkan kepadanya sebagai tapak kepada membangunkan ummah. 

Wallahua’lam.

Catat Ulasan

0 Ulasan