Khalid Sheldrake - Raja Xinjiang Yang Pertama dan Terakhir

Satu ketika dulu sekitar abad ke 19 dan 20, gerakan penyebaran Islam membawa cabaran besar bagi komuniti Muslim di Eropah - berikutan perpecahan fahaman yang ada. Kewujudan dua gerakan besar Salafi dan Ahmadiyyah saling menimbulkan pergeseran antara satu sama lain, berikutan dakwaan ke atas ajaran Ahmadiyyah yang dikatakan sesat.
Beberapa pendakwah berpengaruh Muslim muncul cuba membawa kedua-dua pihak yang bertelagah agar dapat bertenang dan mencari jalan rundingan, sebagai usaha melindungi imej komuniti Muslim dan agama Islam yang dipandang negatif. Salah seorang individu yang berusaha menjalinkan hubungan keduanya adalah seorang lelaki Muslim bernama Khalid Sheldrake.
Lahir pada tahun 1888 dengan nama Bertram William Sheldrake, Khalid anak kepada seorang pembuat manisan di London bernama George Sheldrake. Khalid memeluk Islam pada tahun 1903, seterusnya meninggalkan ajaran Katolik. Bagi menyebarkan Islam, Khalid mula aktif bergerak sebagai aktivis yang membawanya dari London sehinggalah namanya terkenal di seluruh dunia, disebut sebagai Raja kerajaan orang Islam di Xinjiang, China.

Siapakah Khalid Sheldrake?

Pada awal zaman era Khalid memeluk Islam, dalam mempelajari ilmu agama dia mula menyertai Institut Muslim Liverpool; sebuah pertubuhan bebas yang ditubuhkan sekitar tahun 1889. Walaupun masyarakat di sekelilingnya bertelagah dalam menentukan kebenaran antara Salafi dan Ahmadiyyah, Khalid mengambil pendekatan berbeza menyeru agar umat Islamtak kiralah aliran mana pun - perlu belajar menganggap perbezaan mereka sebagai keunikan masyarakat Muslim.
Berikutan daripada pengaruh gerakan aktivis, Khalid mula menerbitkan penerbitan beberapa jurnal sebagai medan dakwah, serta bertindak sebagai editor kepada sebuah majalah dakwah. Pengaruhnya yang mula melebar menyebabkan dia digelarkan 'Sheikh orang Muslim British'; sesuatu yang tidak dapat diterima sebilangan besar komuniti Muslim khasnya mereka yang tidak sependapat dengannya.
Walaupun begitu, Khalid terus keras dengan pandangannya - semua Muslim tak kiralah dari mana pun aliran atau sekta adalah Muslim dan perlu disatukan. Karisma Khalid dalam memperjuangankan penyatuan Islam mula menarik beberapa orang yang sama sepertinya dan mereka menubuhkan Western Islamic Association, sebuah pertubuhan Muslim yang tidak berpegang kepada mana-mana aliran.
Khalid membuka rumahnya di selatan London untuk dijadikan markas gerakan, membuka ruangan solat yang akhirnya dikenali sebagai Masjid Peckham - menganjurkan aktiviti keagamaan, penyebaran maklumat, markas bantuan serta pusat kebajikan.

Kontroversi cetusan Khalid

Hanya dikenali di London, nama Khalid mula terkenal selepas suratnya kepada Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir menjadi buah mulut pemikir Muslim sedunia pada tahun 1932.
Dalam surat tersebut, Khalid memohon agar satu fatwa dapat dikeluarkan bagi memperjelaskan tentang hukum pembinaan sebuah masjid yang akan direkabentuk mengikut senibina Eropah dilakukan di London. Dalam surat itu juga Khalid menyebut bahawa bangunan itu akan dibina dengan menggunakan tenaga kerja individu Kristian.
Bagi menjawab permintaan fatwa Khalid, sarjana al-Azhar turut mengambil kira faktor masyarakat Muslim London yang berpecah belah seterusnya menjurus kepada perbincangan berkaitan gerakan Ahmadiyyah di sana yang difatwakan sesat. Pertanyaan Khalid dijawab dengan fatwa yang mengharuskannya dan Khalid dinasihatkan agar membenarkan penggunaan masjid itu tanpa halangan aliran, agar perpecahan tidak berterusan.
Perbincangan berkenaan fatwa itu diterbitkan dalam majalah dakwah 'Al-Fath' seterusnya membuka kepada pendedahan lebih besar usaha Khalid di London. Dermawan-dermawan Muslim daripada golongan Sunni mula mengajak komuniti Muslim memberikan bantuan kepada projek Khalid, seiring dengan cadangan Universiti al-Azhar - agar masjid yang bakal didirikan berbeza dengan sebuah masjid kelolaan komuniti komuniti Ahmadiyyah yang telah ada iaitu Masjid Woking.
Usaha itu membuatkan gerakan Ahmadiyyah yang selama itu mendominasi gerakan dakwah di London mula menjadi fokus sarjana Islam seluruh dunia, sehingga mereka pula terpaksa mempertahankan diri daripada kritikan dan dakwaan pihak luar.
Kontroversi yang timbul secara tidak sengaja itu memperkenalkan dunia kepada Khalid Sheldrake. Gerakan dakwahnya mula bergerak lebih luas.

Dikenali di Tanah Melayu

Pengaruh Khalid Sheldrake sebagai seorang pendakwah Islam mula dikenali sekitar Asia setelah dia diminta meng-Islamkan salah seorang kaum kerabat Brooke di Sarawak - Dayang Muda Sarawak ketika itu, Gladys Palmer Brooke isteri kepada Tuan Muda Bertram Brooke. Bertram adalah anak kepada Raja Sarawak terakhir - Charles Brooke.
Bagaimanapun, Gladys tidak mahu melakukannya dengan cara biasa dan mahu memeluk Islam dalam situasi unik, jadi mereka pun menaiki sebuah kapal terbang dengan Khalid menjadi salah seorang penumpang. Di tengah perjalanan di udara Selat Inggeris, Khalid bangkit mengajarkan dua kalimah syahadah pada Gladys seterusnya memberikan Gladys nama 'Khairunnisa'.
Disebabkan kejayaan itu, Khalid sekali lagi mula dijulang sehinggakan namanya disebut-sebut sebagai individu yang boleh menyatukan komuniti Muslim yang berpecah belah. Banyak akhbar di Eropah dan Asia melaporkan tentang seorang pendakwah bernama Khalid Sheldrake yang meng-Islamkan menantu kepada Raja Sarawak.
Tidak lama selepas itu, satu delegasi daripada Xinjiang (ketika itu Turkistan Timur secara tidak rasmi) tiba di kediamannya di London. Melihat usaha dakwahnya di India serta Maghribi yang pernah berjalan, rombongan itu percaya Khalid adalah orang yang mampu menghubungkan komuniti Muslim di Asia dengan saudara Islam mereka di Eropah.
Datang dengan niat jelas - mereka mahu menggunakan pengaruh Khalid untuk menyatukan komuniti Muslim Turkistan Timur.

Raja sementara kerajaan Islam baru

Penyatuan komuniti Muslim Turkistan Timur yang dibentuk daripada pelbagai puak diumumkan secara tak rasmi, dengan penubuhan negara yang dikenali sebagai Republik Islam Turkestan Timur. Negeri Kashgar di namakan sebagai ibu negaranya. Pembentukan kerajaan bebas yang ingin merdeka ini bagaimanapun sudah pastilah mendapat tentangan dua kuasa besar, iaitu China dan Kesatuan Soviet.
China menyifatkan kerajaan itu tidak sah sementara Soviet pula enggan memberikan sebarang bentuk kerjasama kepada orang Islam. Penubuhan kerajaan sementara dengan panglima orang Uyghur, Haji Hoja-Niyaz menjawat jawatan Presiden, Sabit Damolla sebagai Perdana Menteri dan Mahmud Muhiti sebagai menteri pertahanan diketawakan.
Mereka berharap dengan penglibatan Khalid sebagai Raja pertama dinasti itu, kuasa-kuasa besar akan berlembut dan memberikan pengiktirafan pada kerajaan mereka.
Khalid mengangguk bersetuju menerima amanah yang ada, walaupun berat baginya meninggalkan hidupnya sebagai pendakwah. Bagi membina kredibiliti, Khalid dan rombongannya mula menjelajah bertemu dengan komuniti Islam di Filipina, Borneo dan Singapura.
Media mula melaporkan tentang rombongan baru bakal Raja Turkistan Timur ini serta desas-desus tentang usaha mewujudkan kerajaan Muslim baru di China. Setelah menamatkan siri jelajah mereka di Jepun dan India, akhirnya Khalid bergerak ke Kashgar bagi melalui proses pertabalan takhta sebagai Raja Turkistan Timur yang pertama.
Pada masa inilah media di China dan Soviet mula menerbitkan dakwaan berkenaan peranan Khalid sebenarnya ejen British, yang dilantik untuk memudahkan British mengawal kawasan sempadan yang sangat kritikal kepada China dan Russia.
Khalid juga didakwa hanya akan menjadi boneka kerajaan Britain sekiranya berjaya ditabalkan sebagai Raja pertama Turkistan Timur.

Menyelamatkan diri ke India

Kedudukan Khalid mula goyah selepas propaganda itu berkesan menyebabkan penentangan penduduk Muslim warga Kesatuan Soviet, enggan sebarang bentuk campur tangan British berlaku di sana. China pula mendesak agar Britain menghentikan tindak tanduk warganegaranya, yang cuba mewujudkan sebuah kerajaan bebas dalam wilayah takluk negara tersebut.
Lebih malang bagi Khalid kerajaan tidak rasmi yang ditubuhkan bagi membentuk sebuah negara baru Turkistan Timur, mula bergolak ekoran perselisihan faham. Krisis ini menyebabkan kesatuan yang berjaya dibentuk sebelum itu kembali berpecah kepada puak-puak kecil. Ini menyebabkan Khalid hilang penyokong utamanya.
'Raja' Khalid, isterinya Permaisuri Qazia serta rombongan yang sedang dalam perjalanan ke Kashgar terpaksa berpatah balik melarikan diri ke arah India bagi mendapatkan perlindungan British di sana - selepas Soviet mula melakukan operasi menggempur kumpulan penyokong kerajaan Turkistan Timur.
Apabila pihak media menemuramah Khalid di India yang terselamat, dia dilaporkan akan berusaha kembali ke Kashgar setelah krisis reda bagi meneruskan perancangan asal. Kita semua tahu itu tidak berlaku. Khalid bakal Raja Turkistan Timur bukan saja tidak kembali, malahan tidak pernah sempat berjaya menjejakkan kaki dalam wilayah yang sepatutnya jadi jajahannya.
Khalid akhirnya kembali ke London, meneruskan usaha dakwahnya menyedari peluangnya untuk bergelar Raja kerajaan Islam sudah tiada. Beliau meninggal dunia pada tahun 1947 di rumahnya, selepas berkhidmat di Turki selama beberapa tahun dengan Kedutaan British; meninggalkan legasi dakwah yang terus dikenang di London serta kisah bagaimana seorang Raja yang tak sempat sempat merasai pertabalannya.
Rujukan

Catat Ulasan

0 Ulasan