Antartika Tanpa Ais Wujud Dalam Peta Lama Uthmaniyah Menimbulkan Misteri


Pada 9 Oktober 1929, seorang ahli teologi Jerman bernama Gustav Adolf Deissmann membuat kerja-kerja penkatalogan barangan di perpustakaan Istana Topkapi. Ketika itulah beliau menemukan sebuah bungkusan yang terletak di celah-celah barangan lain yang belum berusik. Pada bungkusan kulit gazel itu tersimpan sebuah peta yang kini dikenali sebagai peta Piri Reis.

Peta ini dilukis dan ditandatangani oleh ahli kartografi Turki yang bernama Hagji Ahmed Muhiddin Piri, atau Piri Reis pada tahun 1513 Masehi. Reis merupakan seorang laksamana dalam angkatan tentera laut Turki. Selain seorang pelayar yang berpengalaman, beliau juga terkenal sebagai ahli kartografi, yang dicatatkan menggunakan sebanyak 20 sumber peta dan carta untuk menghasilkan petanya itu. Antaranya termasuklah 8 peta Ptolemy, 4 peta Portugis, sebuah peta Arab dan sebuah lagi peta daripada Christopher Columbus.
Sejak ditemui, peta Piri Reis telah menimbulkan kontroversi dan menggamit rasa ingin tahu dalam kalangan para penyelidik. Lebih-lebih lagi kerana bahagian yang dipercayai menggambarkan rupa Antartika pada 300 tahun sebelum ia ditemui secara umum oleh manusia. Satu lagi faktor lain adalah Antartika pada peta Piri Reis berupa daratan luas – sebelum ia diyakini dipenuhi ais lebih 6000 tahun dahulu.
BUKTI TEKNOLOGI PURBA?

Perdebatan besar dimulakan oleh Profesor Charles Hapgood apabila beliau menyiarkan teorinya terhadap peta Piri Reis menerusi bukunya, Maps of the Ancient Sea Kings pada tahun 1965. Beliau dan sepasukan penuntut di Universiti New Hampshire menyelidik peta berkenaan dan menemukan sejumlah anomali. Antaranya seperti penggunakaan unjuran Mercator dan juga gambaran rupa Antartika di zaman pra-ais.

Walaupun masyarakat Eropah tidak berupaya menggunakan unjuran Mercator kecuali pada kurun ke-16, masyarakat Yunani di zaman dahulu mampu menghasilkan peta berdasarkan pengetahuan mendalam tentang bentuk sfera bumi di samping penggunaan alat astronomi dan geometri bagi mengukur latitud dan longitude. Pun begitu, sebelum penciptaan kronometer pada tahun 1760, ketepatan mutlak belum lagi boleh dicapai oleh manusia walau unjuran Mercator digunakan sekalipun.
Namun, di kala ketepatan kiraan longitud dan latitud pada peta Piri Reis boleh dijelaskan menerusi penggunaan peta dan carta hasilan Yunani di zaman Alexander, tiada sebarang penerangan yang munasabah untuk menjelaskan tentang gambaran Antartika sebagai daratan luas. Lantaran itu, Hapgood mengusulkan pandangan bahawa peta Piri Reis dihasilkan berdasarkan sumber yang menjangkaui 4000SM, sebelum wujud sebarang bahasa mahupun ketamadunan yang diketahui oleh sejarah.
Dalam erti kata lain, teori ini mengandaikan bahawa terdapat sebuah ketamadunan pra-sejarah yang mempunyai teknologi untuk menavigasi laluan-laluan utama di lautan dan membuat kiraan yang tepat pada rupa bumi. Hapgood juga berteori bahawa gambaran topografik di Antartika pada peta berkenaan memerlukan satu teknologi yang mampu melihat dari atas (pandangan aerial).

Katanya, tamadun pra-sejarah ini bukan sekadar mahir ilmu lautan, tetapi juga ilmu atas udara. Beliau malah berlebih-lebihan dalam berteori apabila mula mengaitkannya dengan penduduk Atlantis dan bahkan lebih daripada itu, makhluk asing. Sudah tentu, tiada bukti yang sama sekali mampu menyokong teorinya itu.

AMERIKA SELATAN vs ANTARTIKA


Teori Hapgood yang bersifat lebih skeptik pula mencadangkan bahawa peta berkenaan menggambarkan pesisiran Amerika Selatan. Beliau sempat merujuk beberapa ciri fizikal pantai dan daratan pada peta abad ke-16 milik Piri Reis itu lalu membandingkannya dengan Amerika Selatan.

Sementara itu, ada pula sebahagian pengkritik yang memberi hujah dengan mengatakan bahawa imej peta tersebut menggambarkan Antartika dan Amerika Selatan 0 keduanya pernah bersambung di Uruguay dan Argentina sama sekali tidak wujud.

Ketika mana argumentasi ini mungkin agak mengenepikan kehadiran Antartika pada peta Piri Reis sebagai sebuah benua tersendiri (mereka mengandaikan ia Amerika Selatan), terdapat peta-peta anomali lain yang ditemui menunjukkan ciri yang sama terhadap benua bebas ais. Hal ini mungkin disebabkan kerana hanya pada abad ke-19 Masehi, manusia baru berupaya mengenalpasti secara jelas rupa bumi sebenar benua berkenaan menerusi teknologi satelit.
Teori-teori Hapgood yang lain telah pun ditolak-tepi. Antaranya seperti teori perubahan kutub di mana beliau mengandaikan berlaku perubahan mengejut pada kecondongan paksi putaran bumi sekitar tahun 9500SM sekaligus mengakibatkan lokasi Antartika teranjak, meletakkannya beberapa ratus batu ke selatan.

Beliau melanjutkan teorinya itu dengan mengatakan berlakunya perubahan cuaca dari separa-panas kepada beku (sehingga terbentuknya benua Antartika seperti yang diketahui hari ini). Walau bagaimanapun, tidak ada sebarang bukti yang boleh menyokong dakwaan berlakunya perubahan cuaca ini.

KETAMADUNAN YANG TIDAK DITEMUKAN?


Persoalan yang sebenar-benarnya adalah, benarkah benua yan dikenal pasti pada peta Piri Reis atau peta-peta anomal lain itu Antartika dan bukannya benua lain? Sekiranya benar, mungkinkan peta Piri Reis itu dihasilkan berdasarkan sumber dokumen-dokumen daripada tamadun pra-sejarah yang belum lagi ditemui sejarah? Tamadun yang memiliki teknologi yang membolehkan mereka mengembara dan mengukur sudut bumi dengan tepat?

Walau apa sekalipun asal-usul sebenar sumber rujukan bagi peta Piri Reis, terdapat satu perkara yang pasti – iaitu peta ini membuka pintu perdebatan tentang bagaimana kita seharusnya memandang sejarah dan bagaimana reaksi kita, sekiranya salah satu pendapat yang diutarakan itu adalah benar? Mungkin pada suatu hari nanti, kebenaran akan dapat disingkapkan.

DITERJEMAH DAN DIOLAH DARI:

Catat Ulasan

0 Ulasan