ZAKAT KEPADA ADIK-BERADIK YANG BERHUTANG

Soalan :: Ustaz, adakah layak diberi zakat kpd adik2 beradik sendiri yg terbelenggu dgn masalah hutang (hutang pinjaman).
 
Jawapan ::
 
Harus memberi zakat kepada saudara-saudara sendiri (begitu juga kepada anak-anak saudara, bapa-bapa saudara dan sepupu-sepupu serta sanak sauadara yang lain) jika mereka tergolong dalam lapan asnaf yang layak menerima zakat iaitu;
 
1. Untuk golongan fakir
2. Untuk golongan miskin
3. Untuk golongan muallaf yang hendak dijinakkan hatinya dengan agama
4. Untuk 'amil-amil yang dilantik menguruskan zakat
5. Untuk hamba-hamba yang ingin memerdekakan dirinya
6. Untuk orang-orang yang dibelenggu oleh hutang
7. Untuk dibelanjakan bagi kemaslahan agama Allah (Fi Sabilillah)
8. Untuk orang-orang musafir yang terputus bekalan
 
Malah memberi zakat kepada mereka lebih diutamakan dari memberinya kepada orang lain yang tiada hubungan kekeluargaan. Ini kerana Nabi s.a.w. bersabda;
"Sedekah kepada orang miskin sahaja (yang tiada pertalian keluarga) akan mendapat satu pahala iaitu pahala sedekah. Adapun memberi sedekah kepada orang miskin yang mempunyai pertalian keluarga akan mendapat dua pahala iaitu; pahala sedekah dan pahala menghubungkan tali persaudaraan"
(HR Imam Ahmad, at-Tirmizi dan an-Nasai dari Salman bin 'Amir r.a.)
 
 
Namun untuk orang yang dibelenggu hutang (gharimin), keharusan ia menerima zakat tertakluk kepada syarat-syarat berikut;
 
1. Ia memerlukan bantuan orang lain untuk membayar hutangnya. Jika ia tidak memerlukan bantuan orang lain kerana ia kaya dan boleh membayar sendiri hutangnya, tidak harus diberi zakat kepadanya. Sekiranya ia mampu membayar separuh sahaja hutangnya dan separuh lagi tidak mampu ia membayarnya, maka diberikan kepadanya dari harta zakat untuk membayar separuh lagi hutangnya yang berbaki.
 
2. Hutangnya adalah untuk tujuan ketaatan atau untuk keperluan hidup (tanpa bermewah-mewah) seperti ia terpaksa berhutang untuk pakaian, makanan dan minuman, rumah/tempat tinggal, perkahwinan, pengubatan, saraan keluarga dan sebagainya. Jika ia berhutang untuk maksiat, tidak harus diberi zakat untuknya. Begitu juga, seorang yang berhutang untuk belanja mewah dan pembaziran, tidak harus diberi zakat untuk membayar hutangnya kerana pembaziran dan bermewah-mewah adalah diharamkan di dalam Islam (rujuk; al-A'raf, ayat 31)
 
3. Hutang itu adalah hutang yang perlu dibayar segera. Adapun hutang yang tidak dituntut bayaran segera, maka ulamak berikhtilaf;
 
a) Ada ulamak berpendapat; harus juga diberi zakat kepadanya kerana ia termasuk dalam pengertian umum gharimin.
b) Ada ulamak berpandangan; tidak harus diberi zakat kepadanya kerana ia bukanlah orang yang memerlukan pada masa sekarang.
c) Pendapat lain; jika hutang dituntut pada tahun semasa haruslah diberi zakat kepadanya. Jika tidak, tidak haruslah diberi zakat kepadanya untuk tahun itu.
 
Syeikh Abdurraziq Nasir Muhammad dalam bukunya "Fiqh az-Zakah" mencadang agar ketiga-tiga pandangan tersebut diguna-pakai melihat kepada kedudukan hasil zakat; Jika hasil zakat adalah sedikit dan orang-orang yang layak menerimanya adalah ramai, maka kita memakai pendapat yang kedua iaitu tidak diberikan zakat kepada orang berhutang yang hutangnya tidak dituntut segera supaya harta zakat dapat diutamakan kepada asnaf-asnaf yang lain yang memerlukan segera. Jika hasil zakat adalah banyak dan orang-orang yang layak menerimanya sedikit, maka kita memakai pandangan pertama iaitu memberi peluang kepadanya untuk menerima zakat. Jika hasil zakat adalah sederhana, maka kita memakai pandangan ketiga iaitu memberi zakat untuk orang berhutang bagi membayar hutangnya bagi tahun semasa sahaja. (Lihat; halaman 125. Terjemahan secara mafhum).
 
4. Hutang itu adalah hutang kepada manusia. Adapun hutang kepada Allah seperti kaffarah, zakat, fidyah dan sebagainya, tidak harus diberi zakat kepadanya untuk membayar hutang tersebut. Syarat ini hanya diletakkan oleh ulamak-ulamak mazhab Malik sahaja. Adapun ulamak-ulamak lain, mereka tidaklah mensyaratkannya.
 
Wallahu a'lam.
 
Rujukan;
1. al-Majmu', Imam an-Nawawi, 6/219.
2. Fiqh al-'Ibadah, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 393.
3. Fiqh az-Zakah Fi al-Mal Wa al-Badan, Syeikh Abdurraziq Nasir Muhammad, hlm. 123-125.
 
USTAZ AHMAD ADNAN FADHIL
 
*Copy from Whatsapp Groups

Catat Ulasan

0 Ulasan