Pokok Ulam Raja, King Salad (nama Inggeris) yang dikenali juga dengan nama pokok Kenikir atau nama botinikalnya Cosmos caudatus merupakan tumbuhan herba tropika yang berasal dari Amerika Latin. Tumbuhan ini dikatakan tumbuh meliar dan mudah didapati di Florida, Amerika Syarikat dan di Malaysia serta lain-lain negara Asean.
Pokok ulam raja adalah sejenis spesis bunga intan berayun yang berwarna unggu dan berbunga kecil dan sangat digemari oleh kebanyakan orang untuk dimakan mentah bersama nasi dan dicicah dengan sambal belacan, budu, tempoyak atau cencalok. Namun terdapat pokok ulam raja yang berbunga kuning tetapi jarang dimakan sebagai ulam.
Berdasarkan kajian, ulam raja mengandungi 3% protein, 0.4% lemak dan karbohidrat serta kaya dengan kalsium dan vitamin A. Herba ini adalah herba semusim yang boleh mencapai ketinggian hampir 2 meter. Batangnya berwarna hijau tua dan keunguan sedikit. Kebiasaannya herba ini bercabang banyak di bahagian atas.
Pokok ulam raja senang ditanam dengan menggunakan keratan batang dan biji benih yang dihasilkan selepas bunganya matang dan bersesuaian ditanam pada ketinggian 200 meter dari aras laut. Daunnya bergaris bentuk ovat atau segi tiga dengan anak daunnya yang runcing, kesat dan berwarna hijau tua. Bunganya bertangkai panjang, berwarna kuning keunguan. Daun herba ini mengeluarkan bau apabila diramas.
Ulam Raja ini sangat senang ditanam dan boleh tumbuh dihalaman rumah atau didalam pasu bunga.. Kaedah penjagaan yang mudah dengan siraman air dua kali sehari akan menjadikan pokok ulam raja mudah membiak dan membesar dengan cepat. Ianya boleh dijadikan sumber sayuran atau ulaman seharian. Sangat sesuai ditanam didalam pasu sekiranya anda tinggal dirumah bertingkat seperti flat atau apartment.
Daun dari pokok ulam raja digelarkan "ulam raja" telah digunakan secara tradisi untuk memperbaiki peredaran dan mencuci darah serta untuk menguatkan tulang. Ulamnya mempunyai keupayaan antioksida (AEAC) yang amat tinggi, iaitu setiap 100 gram ulam yang segar mengandungi lelebih dua puluh jenis bahan antioksida yang telah dikenal pasti dalam ulam raja. Keupayaan antioksida yang sama dengan 2,400 miligram L-asid askorbik.
Bahan-bahan antioksida yang utama disebabkan oleh kehadiran sebilangan proantosianidin yang wujud sebagai dimer, melalui heksamer, kuersetin glikosida, asid klorogenik, asid neoklorogenik, Penangkapm (+)- serta asid kripto-klorogenik. Ulam raja berkeupayaan untuk mengurangkan tekanan oksidatif yang bermungkinan kerana sebahagiannya terdiri daripada kandungan antioksidanya yang tinggi.
Khasiat ulam raja telah diketahui oleh masyarakat Melayu sejak dahulu kala lagi dan telah dimanfaatkan sebagai makanan harian atau sebagai ubatan. Dalam era serba cepat dan pantas, makanan segera lebih mendapat perhatian dan telah menengelamkan tradisi makan ulam-ulaman terutama kepada generasi muda yang lebih cenderong kepada makanan segera.
Tulisan ini diharap dapat memberikan gambaran bahawa memakan ulam-ulaman seperti ulam raja dan pelbagai jenis ulam lain yang terdapat disekeliling kita adalah sangat baik untuk kesihatan tubuh badan. Semoga tumbuhan herba dan ulaman terus dipelihara dan berkekalan untuk tinggalan generasi akan datang agar mereka juga akan dapat menikmati keenakannya dan mengamal kehidupan sihat.
*Sumber diambil dari Telegram Group Berkebun satu hobi, [23.05.17 11:42]
0 Ulasan